RUU Anti Lompat Parti dibentang 11 April, kata Wan Junaidi

RUU Anti Lompat Parti dibentang 11 April, kata Wan Junaidi

Menteri Undang-undang itu berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bagi menetapkan tarikh itu.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tiada masalah untuk sidang khas Parlimen diadakan pada Ramadan kerana Dewan Rakyat pernah bersidang dalam bulan berkenaan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentang dalam sidang khas Parlimen yang dijadualkan berlangsung 11 April ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bagi menetapkan tarikh itu.

“Saya berkesempatan berbincang dengan Perdana Menteri dan kita telah bersetuju persidangan pada 11 April ini diadakan untuk kita membahaskan RUU Anti Lompat Parti.

“Kuasa di bawah Peraturan 11(3) ini memang kuasa dan hak Perdana Menteri dan berbincang dengan Speaker (Dewan Rakyat), tapi tarikh itu ditetapkan dalam masa 14 hari,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang bangun mencelah dan bertanyakan bila sidang khas Parlimen itu akan diadakan bagi membolehkan kedua-dua pihak membuat persiapan.

Wan Junaidi berkata, tiada masalah untuk sidang khas Parlimen itu diadakan pada Ramadan memandangkan sebelum ini sidang Dewan Rakyat pernah diadakan dalam bulan berkenaan.

“Yang Berhormat jangan bimbang, Perdana Menteri beri jaminan kita akan bentangkan RUU ini dan biarlah Ahli Parlimen buat keputusan sendiri.

“Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) pun cakap, kalau tak habis (bahas) satu hari, dua hari pun boleh sidang khas ini,” katanya.

Sebelum ini, Wan Junaidi dilaporkan berkata, beberapa cadangan pindaan Perlembagaan akan dibentang semasa sidang Dewan Rakyat kali ini, termasuk RUU Anti Lompat Parti dan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.

Ia selaras saranan Perdana Menteri yang mahu RUU itu disegerakan selepas kerajaan memeterai memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama PH pada 13 Sept 2021.

Bagaimanapun, RUU itu tidak dapat dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat kali ini bagi membolehkan pandangan serta input semua pihak terlibat diperoleh dan semua sesi libat urus selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.