RM4.5 juta dadah dirampas, sindiket tumpas

RM4.5 juta dadah dirampas, sindiket tumpas

Menurut polis, serbuan yang dijalankan antara pukul 11.10 pagi dan 5.30 petang pada Isnin itu membawa kepada penahanan lapan lelaki tempatan

Mior Faridalathrash Wahid (dua dari kanan) dengan pelbagai jenis dadah yang dirampas termasuk syabu, heroin dan ketamin yang dianggarkan boleh digunakan oleh 620,025 penagih dadah. (Gambar Bernama)
IPOH:
Polis Perak menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah membabitkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM4.5 juta dalam lapan serbuan berasingan di sekitar negeri ini pada Isnin lepas.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, serbuan yang dijalankan antara pukul 11.10 pagi dan 5.30 petang itu membawa kepada penahanan lapan lelaki tempatan berusia lingkungan 32 hingga 37 tahun yang dipercayai ahli sindiket berkenaan.

“Hasil serbuan antaranya di rumah dan kenderaan berjaya merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu, heroin dan ketamin yang dianggarkan boleh digunakan oleh 620,025 penagih dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu, yang mula aktif sejak pertengahan tahun lepas, adalah membawa masuk bekalan dadah dari pantai timur Semenanjung untuk pasaran tempatan di negeri ini.

Katanya, turut disita ialah aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM212,712 melibatkan wang tunai, barangan kemas dan lima kenderaan pelbagai jenis.

Menurut Mior Faridalathrash saringan awal ke atas kesemua suspek mendapati mereka negatif dadah, namun lima suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman tujuh hari bermula Selasa lepas bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.