
Carmelo Ferlito daripada Pusat Pendidikan Pasaran berkata, ketidakstabilan politik semasa menyebabkan pelabur menjauhkan diri dan PRU mungkin akan membawa perubahan yang dialu-alukan kepada landskap politik.
Beliau berkata, pelabur pada masa ini tidak tahu apakah yang dapat dijangka dari segi dasar, strategi, hala tuju dan pelaksanaan.
“Pelaburan tersekat apabila pelabur beranggapan hala tuju ekonomi tidak menentu atau buruk,” katanya kepada FMT.

“Pergelutan politik antara kerajaan dan blok pembangkang menimbulkan ketidaktentuan. Maka kemunculan majoriti jelas yang dipilih pengundi akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara.
“PRU sekarang berpotensi membantu pertumbuhan ekonomi kerana ia akan menamatkan kekeliruan dan ketidaktentuan.’
Beliau mengulas gesaan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan supaya PRU15 diadakan tahun ini.
Bagaimanapun Ferlito berkata, PRU tidak akan menjadi penawar bagi semua masalah ekonomi negara.
Katanya, kerajaan baharu mesti memulakan reformasi ekonomi.
“Gabungan yang menang perlu muncul dengan manifesto yang mantap untuk menangani masalah asas ekonomi negara. Komitmen untuk melaksanakan manifesto itu sangat penting.
“Kita perlukan manifesto bukan demagogi, iaitu satu manifesto yang mengakui bahawa wujud isu struktur yang perlu ditangani dan masalah luar jangka yang wujud akibat pengurusan wabak yang buruk,” katanya.
Beliau menggesa agar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disemak semula.
Katanya, negara terlalu bergantung kepada perbelanjaan pengguna dan campur tangan kerajaan manakala pelaburan swasta semakin ketinggalan.

Beliau juga mencadangkan supaya persekitaran mesra perniagaan dan perundangan buruh dibina semula.
Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia Shaun Cheah turut menyokong gesaan agar PRU diadakan lebih awal dengan berkata, ketidakstabilan politik dan rasuah dalam kalangan pemimpin merupakan antara kebimbangan utama yang menjauhkan pelabur tempatan dan luar negara.
Beliau berkata, adalah baik untuk perniagaan jika PRU15 dapat melahirkan kerajaan yang stabil yang akan mentadbir dengan baik dan menggubal dasar properniagaan.