
Komander PPM Wilayah Tiga, Norzaid Muhammad Said, berkata, rampasan pada 5 petang itu dilakukan di sebuah kedai kosong di Kampung Simpangan, Tumpat, Kelantan yang dipercayai dijadikan lokasi transit sebelum diseludup ke Thailand.
Beliau berkata, anggotanya sebelum itu menerima aduan dan menjalankan pemantauan di lokasi terbabit menerusi penugasan Op Landai/Op Kontraban.
“Apabila sampai di premis itu, didapati pintunya tidak berkunci dan tiada penghuni sebelum anggota kami masuk bagi menjalankan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan menemui sejumlah pod vape, katrij serta cecair untuk kegunaan rokok elektronik itu dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM519,300,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Norzaid berkata, kesemua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952.