Pesara bebas daripada tuduhan mendera anjing jalanan

Pesara bebas daripada tuduhan mendera anjing jalanan

Hakim mendapati bukti dikemukakan tidak mencukupi dalam pendakwaan kes berkenaan.

Ng Ah Leak (tengah) ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth tahun lalu.
BUTTERWORTH:
Seorang pesara berusia 71 tahun dibebaskan daripada tuduhan mendera haiwan selepas mahkamah mendapati bukti tidak mencukupi dalam pendakwaan kes berkenaan.

Ng Ah Leak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 9 Mac tahun lalu atas pertuduhan mencederakan seekor anjing liar dengan sebatang buluh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di longkang luar rumahnya di Taman Tanjung Indah, Raja Uda, pada 24 Okt 2020 jam 10.30 malam.

Ng didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang membawa hukuman denda tidak kurang RM20,000 atau maksimum RM100,000, atau dipenjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Noor Aini Yusof membebaskan Ng tanpa tanpa dipanggil membela diri kerana mendapati pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan kes prima facie.

Peguam Ng, Devkumar Kumaraendran berkata pihak pendakwaan berhujah bahawa anak guamnya telah memasang perangkap untuk anjing itu, seperti yang diberi keterangan saksi.

Beliau berkata tiada bukti wujud perangkap itu dan Ng hanya menggunakan tiang buluh untuk membebaskan anjing itu dari longkang.

“Pihak pendakwaan juga gagal mengemukakan sebarang bukti untuk menunjukkan kecederaan yang dialami anjing itu berpunca pada tarikh itu,” katanya.

Ng turut diwakili peguam, Yaw Xinying manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Roziman Awang Tahrin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.