Lewat tetap harga siling vaksin rugikan rakyat, kata PAC

Lewat tetap harga siling vaksin rugikan rakyat, kata PAC

Pada 15 Jan lalu Putrajaya menetapkan harga borong dan runcit maksimum bagi dua produk vaksin iaitu jenama CoronaVac keluaran Sinovac dan Covilo keluaran Sinopharm.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata, pada masa harga siling ditetapkan oleh kerajaan, ia telah melepasi waktu kemuncak permintaan vaksin Sinovac dalam fasiliti perkhidmatan kesihatan swasta.
PETALING JAYA:
Kelewatan Kementerian Kesihatan dalam menetapkan harga siling bagi vaksin Sinovac yang diberikan di fasiliti penjagaan kesihatan swasta merugikan rakyat Malaysia, kata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Dalam laporan yang diterbitkan hari ini mengenai perolehan berkaitan vaksin Covid-19, Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata pada masa harga siling ditetapkan oleh kerajaan, ia telah melepasi waktu kemuncak permintaan vaksin Sinovac dalam fasiliti perkhidmatan kesihatan swasta.

“Penetapan ini kerana terlambat, tidak dapat membawa kepentingan ataupun keuntungan kepada masyarakat secara keseluruhan.

“(Harga siling) satu dos RM150 apabila ia dimulakan pada bulan Ogos sehingga harga siling ditetapkan pada 15 Jan 2022.

“Bagi saya memang aduan adalah apabila permintaan untuk vaksin dalam pasaran (fasiliti penjagaan kesihatan) swasta yang mana semasa ‘peak’ (waktu puncak) pada bulan Ogos dan September lepas, di mana semasa itu banyak kes, semua orang tergesa-gesa untuk mendapatkan vaksin dan sebahagian daripada mereka baru sahaja membayar dan mendapatkan vaksin Sinovac mereka. Jadi, itu apa yang betul-betul berlaku,” katanya.

Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan kepada PAC, sebanyak 2.2 juta dos vaksin Sinovac telah dijual sebelum penetapan harga siling.

Pada Julai 2021, kerajaan mengumumkan pengedar vaksin dibenarkan memulakan penjualan vaksin Sinovac dalam pasaran swasta, yang sebelum ini hanya membawa masuk dos semata-mata untuk bekalan kerajaan

Ketika itu terdapat desakan supaya harga siling ditetapkan bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan kos yang terpaksa ditanggung.

Pharmaniaga menetapkan RM350 untuk dua dos termasuk caj klinikal RM50. PAC berkata, mereka tidak mempunyai masalah dengan keuntungan yang ingin diambil namun, harga yang ditetapkan terlalu tinggi.

Pada 15 Jan, Putrajaya menetapkan harga borong dan runcit maksimum bagi dua produk vaksin iaitu jenama CoronaVac keluaran Sinovac dan Covilo keluaran Sinopharm.

Dalam kenyataan bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi menjelaskan penetapan harga itu dibuat dalam usaha mengelakkan vaksin Covid-19 dijual pada harga terlalu tinggi di pasaran.

Harga borong dan runcit maksimum bagi vaksin CoronaVac masing-masing ditetapkan RM62 dan RM77 setiap dos, manakala Covilo masing-masing pada RM49 dan RM61.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.