Kerajaan rangka garis panduan benar pelarian bekerja, kata Saravanan

Kerajaan rangka garis panduan benar pelarian bekerja, kata Saravanan

Kementerian Sumber Manusia akan mengkaji sektor sesuai untuk pelarian dan memastikan kebenaran itu tidak akan menyebabkan persaingan dengan rakyat Malaysia.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata, Putrajaya bersedia untuk bekerjasama dengan UNHCR dan pemegang taruh lain bagi memastikan kebenaran bekerja bagi pelarian dan pemohon suaka dapat dilaksanakan dengan berkesan.
PETALING JAYA:
Putrajaya sedang mengusahakan garis panduan mengenai kebenaran untuk pelarian bekerja di Malaysia dengan Kementerian Sumber Manusia mengetuai jawatankuasa mengkaji perkara itu, kata menterinya, M Saravanan.

Dalam jawapan bertulis Parlimen, Saravanan berkata, kementeriannya akan mengkaji sektor yang sesuai untuk pelarian bekerja dan memastikan kebenaran ini tidak akan menyebabkan persaingan dengan rakyat Malaysia untuk mendapatkan pekerjaan.

Beliau juga berkata, kementerian akan melihat untuk menjadikan ini sebagai “faktor penarik” bagi ramai pelarian dan pemohon suaka yang memegang kad Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) memasuki negara ini.

Tonton video di sini.

Bagaimanapun, tiada garis masa diberikannya berhubung tarikh garis panduan ini akan diperkenalkan.

“Pengurusan pelarian dan pemohon suaka dalam negara sehingga kini tertakluk kepada Arahan Majlis Keselamatan Negara No 23 bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN). Arahan ini sedang dalam proses penambahbaikan dan akan dibentangkan dalam mesyuarat MKN untuk kelulusan.

“Pada masa ini, pelarian yang memegang kad UNHCR hanya dibenarkan bekerja dalam sektor tidak formal seperti bekerja sendiri untuk tujuan sara hidup. Melalui penambahbaikan Arahan Majlis Keselamatan Negara No 23, satu Garis Panduan Kebenaran Bekerja bagi Pelarian akan diperkenalkan.

“Melalui mekanisme pemberian kebenaran bekerja ini juga, kerajaan akan dapat memastikan golongan pelarian dapat diambil kira dalam pangkalan data negara dan maklumat keberadaan mereka akan dapat dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

Saravanan juga berkata, Putrajaya bersedia bekerjasama dengan UNHCR dan pemegang taruh lain bagi memastikan kebenaran bekerja itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau menjawab soalan Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang bertanya mengenai cadangan untuk membenarkan pelarian dengan kad UNHCR bekerja secara rasmi di Malaysia.

Timbul banyak gesaan daripada aktivis supaya pelarian dibenarkan bekerja di negara ini, terutamanya dalam sektor yang biasanya dielak oleh rakyat tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.