Annuar tetap jadi menteri, usul SOSMA gagal tak gugat kerajaan, kata Loke

Annuar tetap jadi menteri, usul SOSMA gagal tak gugat kerajaan, kata Loke

Pakatan Harapan tidak melanggar MoU kerana apa yang dilakukan pembangkang adalah mengekalkan pendirian, kata Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook.

PH tidak melanggar MoU kerana langkah yang diambil pembangkang adalah mengekalkan pendirian yang tidak bersetuju dengan usul tersebut, menurut Loke Siew Fook.
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak tergugat walaupun gagal mendapat undi untuk usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi tempoh lima tahun, kata Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook.

Beliau berkata, tiada obligasi ataupun kesan bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri mesti membubarkan Dewan Rakyat, sebaliknya kerajaan masih boleh berfungsi seperti biasa.

“Ini adalah satu usul tidak substantif bukan bermaksud usul itu ditolak. Kerajaan jatuh esok? Tidak. Esok Annuar Musa tetap jadi menteri komunikasi.

Tonton video di sini.

“Kerajaan masih ada kalau bukan orang mereka sendiri yang tolak perdana menteri, masih ada majoriti, kita tidak terlibat. Kita kata kita menyediakan kestabilan kepada kerajaan, kita tak menggugat kedudukan mereka,” kata Loke dalam wawancara di Ubah.TV.

Langkah Pakatan Harapan (PH) meminta undi belah bahagi di Dewan Rakyat terhadap usul kerajaan berkaitan SOSMA 2012 menimbulkan dakwaan bahawa blok pembangkang melanggar memorandum persefahaman (MoU).

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa dilaporkan berkata, tindakan PH menyebabkan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dengan pembangkang itu terbatal.

Beliau berkata, Perkara 3.3(b) dalam MoU itu menyebut, PH bersetuju akan mengambil pendirian menyokong atau berkecuali terhadap usul yang dikemukakan oleh kerajaan.

Turut mengkritik tindakan blok pembangkang ialah Ketua Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menyifatkan Ahli Parlimen pembangkang tidak menghormati MoU.

Menjawab kritikan itu, Loke berkata, PH tidak melanggar MoU kerana langkah yang diambil pembangkang adalah mengekalkan pendirian yang pada asalnya memang tidak bersetuju dengan usul tersebut.

Ujar Loke, usul itu tidak dibincangkan bersama PH sebelum dibentangkan di Parlimen dan ia tidak termasuk dalam MOU yang ditandatangani.

“Adakah dengan menolak usul ini MoU akan terbatal? Bagi saya tidak..si senator timbalan menteri (Wan Ahmad Fayhsal) itu dia tak faham.

“MoU itu mengatakan bahawa betul kita ada obligasi dalam dua perkara penting yang menentukan kestabilan kerajaan. Pertamanya dalam belanjawan dan kedua undi percaya kepada PM atau pun usul tidak percaya kepada PM,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa usul tersebut gagal dengan Ahli Parlimen yang bersetuju seramai 85 orang, manakala tidak bersetuju 86 orang dan 49 lagi Ahli Parlimen tidak hadir.

Usul itu dikemukakan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin sebelum dibahaskan oleh 19 orang Ahli Parlimen semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.