Tak perlu malu, kekok guna Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, kata PM

Tak perlu malu, kekok guna Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, kata PM

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata Bahasa Melayu diyakini boleh dijadikan sebagai salah satu bahasa rasmi ASEAN.

Menurut Ismail Sabri Yaakob, beliau sudah meminta supaya Kementerian Luar Negeri menyediakan nota percakapan serta dokumen berkaitan dalam Bahasa Melayu sebagai rujukan apabila mengadakan lawatan rasmi ke luar negara.
PETALING JAYA:
Bahasa Melayu diyakini boleh dijadikan sebagai salah satu bahasa rasmi ASEAN, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata, perkara itu mungkin boleh dibincang dengan pemimpin ASEAN pada masa hadapan selain menekankan bahawa Bahasa Melayu mempunyai keunikan dan kelebihannya tersendiri, khususnya dalam kalangan negara ASEAN.

Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Dewan Negara, Senator Isa Ab Hamid, beliau berkata, selain Malaysia, beberapa negara jiran seperti Indonesia dan Brunei Darussalam menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

“Pada masa ini, hanya empat daripada 10 buah negara ASEAN yang menggunakan Bahasa Inggeris dalam acara rasmi di peringkat antarabangsa.

“Manakala, enam buah negara lagi menggunakan bahasa ibunda sendiri dalam urusan rasmi masing-masing dan perlu diterjemahkan,” katanya.

Isa meminta perdana menteri menyatakan usaha kerajaan dalam memperkasa dan memartabatkan Bahasa Melayu dalam urusan diplomatik luar negara dan hubungan antarabangsa.

Jelas Ismail, beliau sudah meminta supaya Kementerian Luar Negeri menyediakan nota percakapan serta dokumen berkaitan dalam Bahasa Melayu sebagai rujukan apabila mengadakan lawatan rasmi ke luar negara.

Ismail turut mengingatkan supaya tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Katanya, usaha itu akan diteruskan dalam mana-mana pertemuan, mesyuarat dan persidangan antarabangsa, sama ada dua hala atau pelbagai hala di dalam mahupun di luar negara mengikut kesesuaian.

Dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2021 19 Mac lalu, Ismail berkata Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 akan dipinda bagi membolehkan agensi itu mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran Bahasa Melayu termasuk di peringkat daerah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.