Suspek pukul penunggang basikal diambil keterangan

Suspek pukul penunggang basikal diambil keterangan

Menurut polis, temubual ke atas lelaki berusia 34 tahun itu mendapati punca kejadian adalah disebabkan salah faham.

Rakaman video tular menunjukkan seorang lelaki menaiki kereta Proton Wira memberhentikan kenderaan sebelum memukul lelaki yang menunggang basikal di persimpangan lampu isyarat AEON Mall Seri Manjung. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki dipercayai suspek kes pukul ke atas seorang penunggang basikal menggunakan batang besi di persimpangan lampu isyarat di Jalan Seri Manjung-Segari, Manjung sudah direkod keterangannya bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Manjung Nor Omar Sappi berkata, temu bual ke atas lelaki berusia 34 tahun itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung petang semalam mendapati punca kejadian adalah salah faham antara lelaki berkenaan dengan penunggang basikal warga asing itu.

Katanya, suspek menggunakan kereta jenis Proton Wira yang dipinjam daripada rakannya manakala mangsa yang menunggang basikal berada di lorong kiri jalan di lampu isyarat simpang empat AEON Mall Seri Manjung.

“Apabila tiba di tempat kejadian, semasa suspek mahu membelok ke simpang kiri laluan lorong pusat beli-belah itu, mangsa yang berada di lorong kiri laluan utama di persimpangan lampu isyarat tersebut beranggapan bahawa suspek ingin menghimpit dan melanggarnya.

“Oleh kerana salah faham, suspek bertindak memukul mangsa kerana mangsa memaki hamun serta mencabar suspek,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, sehingga kini, mangsa belum dikenal pasti dan tiada laporan polis dibuat olehnya namun pihak polis menerima laporan berkaitan insiden itu daripada seorang wanita pada 10 pagi semalam.

Menurut Nor Omar, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan permohonan perintah untuk siasat (OTI) akan dibuat kepada timbalan pendakwa raya bagi meneruskan siasatan.

“Pihak polis menggesa mangsa terlibat supaya tampil membuat laporan polis dan sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Insp Irsyadiman Allmui di talian 01117836233 bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial memaparkan seorang lelaki menaiki kereta Proton Wira berwarna biru memberhentikan kenderaan sebelum memukul lelaki yang menunggang basikal di persimpangan lampu isyarat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.