
Muhamad Yusri Latiff, 35, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Majistret Wong Chai Sia.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Lelaki itu didakwa membunuh Fong Hsu Kei, 25, di Bengkel Pertanian Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mulia di Taman Mulia, Cheras, antara 1.45 tengah hari hingga 5.30 petang, 12 Mac lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Phulrani Kaur manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 25 Mei ini untuk sebutan semula kes untuk laporan bedah siasat.
Tertuduh yang memakai kemeja-T berwarna kuning dibawa masuk ke dalam mahkamah pada 10.20 pagi dengan diiringi beberapa anggota polis.
Pada 12 Mac lalu, media melaporkan seorang wanita yang bekerja sebagai penyelia kedai buku ditemukan rentung disyaki dibunuh dan dibakar di dalam bengkel sekolah berkenaan.