Perompak kedai emas lari, ‘kecut’ dengar jeritan wanita

Perompak kedai emas lari, ‘kecut’ dengar jeritan wanita

Suspek membawa penukul besi lalu memecahkan cermin kaca bahagian hadapan kedai emas tersebut.

Ketua Polis Daerah Kulai Tok Beng Yeow, berkata terdapat dua pekerja dan seorang daripada mereka menjerit serta memarahi suspek menyebabkan suspek ketakutan, lalu melarikan diri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jeritan seorang pekerja wanita berjaya menyelamatkan kedai emas milik majikannya daripada disamun dalam kejadian di Pekan Senai, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai Tok Beng Yeow, berkata pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu daripada lelaki yang juga pemilik kedai emas berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian kedainya didatangi seorang lelaki tempatan yang membawa penukul besi dan memecahkan cermin kaca di bahagian hadapan.

“Ketika kejadian terdapat dua pekerja dalam kedai emas itu. Seorang daripada mereka (pekerja) berusia 32 tahun menjerit memarahi suspek.

“Suspek yang terkejut terus melarikan diri menggunakan motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna biru putih. Suspek juga tidak sempat mengambil barang kemas dari kedai emas itu,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beng Yeow berkata, pihaknya kini sedang mengesan suspek dan siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Dzulhanafie Nasran di talian 019-5383819 atau IPD Kulai 07-6632222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.