PAC akan teliti laporan audit dedah kerajaan hilang, rugi hampir RM65 juta

PAC akan teliti laporan audit dedah kerajaan hilang, rugi hampir RM65 juta

Ia membabitkan satu kes pemborosan berjumlah RM2.81 juta, satu kes pembaziran RM16.77 juta dan satu kes kehilangan/kerugian wang kerajaan sebanyak RM44.53 juta.

Wong Kah Woh berkata, PAC akan meneliti semua isu dibangkitkan dan memulakan prosiding selepas mendapat keputusan sebulat suara berhubung isu yang akan disiasat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan meneliti dan memulakan prosiding berhubung kes pemborosan, pembaziran serta kehilangan atau kerugian hampir RM65 juta wang kerajaan yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2020 Siri 1

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, PAC akan mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti semua isu yang dibangkitkan dan memulakan prosiding selepas mendapat keputusan sebulat suara berhubung isu yang akan disiasat.

Beliau dalam kenyataan berkata, kes tersebut membabitkan aktiviti kementerian, jabatan kerajaan dan badan berkanun persekutuan.

Antaranya, LKAN melaporkan satu kes kehilangan/kerugian wang kerajaan berjumlah RM44.53 juta membabitkan aktiviti kawalan terhadap penggajian ekspatriat di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia.

Katanya, terdapat satu kes pembaziran berjumlah RM16.77 juta membabitkan pengurusan program pembangunan tenaga boleh baharu di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Wong berkata, satu kes pemborosan berjumlah RM2.81 juta membabitkan projek menaik taraf perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di bawah Kementerian Pengangkutan, selain empat projek tidak mencapai objektif ditetapkan.

“LKAN Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan pula mendedahkan isu membabitkan LTAT gagal memulangkan wang caruman kerajaan berjumlah RM695.06 juta kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), selain pembayaran dividen tidak teratur.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.