
Hakim Noorin Badaruddin berkata, wanita yang kini berusia 42 tahun itu sepatutnya ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa dia bukan Islam.
“Perlembagaan persekutuan telah memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menentukan perkara berkaitan dengan Islam.
“Mahkamah Sivil tidak boleh masuk campur dalam urusan berkaitan Islam dan adalah sangat tidak wajar untuk mahkamah ini menentukan sama ada seseorang itu Islam atau tidak,” katanya.
Wanita itu telah memulakan semakan kehakiman bagi memohon perintah terhadap Pendaftar Mualaf Selangor untuk membatalkan sijil penukaran agamanya.
Dia juga mahu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan MyKad baharu tanpa tertera perkataan “Islam”.
Wanita itu berkata, bapanya menukar agamanya ketika dia berumur 10 tahun. Pada masa itu, ibu bapanya berada dalam proses perceraian.
Dia mendakwa ibunya tidak pernah memeluk Islam dan tidak pernah bersetuju untuk memeluk Islam.
Wanita itu juga berkata, dia tidak pernah mengamalkan Islam dan telah mengesahkannya dalam akuan bersumpah untuk menolak penggunaan nama Islamnya.
Katanya, sebelum ini dia hadir ke JPN untuk menukar MyKadnya tetapi pegawai jabatan itu menolak permintaannya dan memintanya mengemukakan perintah daripada Mahkamah Syariah untuk menyokong permohonannya.
Ibunya tidak pernah memfailkan tindakan untuk membatalkan penukaran agama, kata mahkamah.
Dalam keputusannya, Noorin berkata, wanita itu telah menggunakan kad pengenalan dengan perkataan “Islam” sejak 1992 ketika dia masih remaja. Satu lagi kad pengenalan, juga mengandungi perkataan “Islam”, telah dikeluarkan kepadanya apabila mencapai usia matang.
“Adalah jelas dalam rekod JPN bahawa pemohon telah menggunakan kad pengenalan dengan perkataan ‘Islam’ sejak dia remaja dan dalam rekod menunjukkan bahawa dia seorang Muslim.
“Hanya apabila dia berumur 39 tahun, dia mengesahkan dalam akuan bersumpah menyatakan dia mahu menggunakan nama bukan Islam dan menghapuskan ‘Islam’ daripada kad pengenalannya.”
Noorin berkata, mahkamah terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan 2007 dalam kes Lina Joy, dengan JPN mempunyai hak untuk mengenakan syarat terhadap individu untuk mengeluarkan perintah Mahkamah Syariah bagi memperakui mereka bukan lagi beragama Islam.
“Sama ada dia Islam atau bukan Islam, ia bukan bawah bidang kuasa JPN,” katanya.
Beliau berkata, kes sekarang juga mesti dibezakan daripada penghakiman Mahkamah Persekutuan 2018 mengenai penukaran agama unilateral anak-anak M Indira Gandhi.
Mahkamah tertinggi telah memutuskan bahawa kedua-dua ibu bapa perlu bersetuju dengan penukaran agama anak mereka.
“Dalam kes Indira, dia mengambil langkah untuk mencabar penukaran agama anak-anak ketika mereka masih di bawah umur, manakala dalam kes ini, ibu pemohon tidak pernah memfailkan sebarang cabaran dalam tempoh sesuai.
“Pada hakikatnya, ibunya tidak pernah bersetuju dengan penukaran agama dan hanya disebut ketika memfailkan semakan kehakiman ini,” katanya.
Noorin juga berkata, wanita itu tidak pernah mempersoalkan penukaran agamanya melalui tindakan undang-undang yang sewajarnya apabila dia berumur 18 tahun.
“Cabaran itu hanya timbul baru-baru ini apabila dia berusia hampir 40 tahun,” katanya.
Bagaimanapun katanya, wanita itu “tidak dilucutkan daripada remedi undang-undang” untuk mendapatkan pelepasannya daripada agama Islam.
“Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam diberi bidang kuasa untuk mengisytiharkannya sebagai Islam atau bukan Islam.
“Dengan itu (perintah Mahkamah Tinggi Syariah), dia boleh meneruskan permohonannya di JPN untuk mengeluarkan ‘Islam’ daripada kad pengenalannya,” kata Noorin.
Mahkamah tidak membuat sebarang perintah berhubung kos, walaupun peguam Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Kamaruzaman Muhammad Arif, meminta kos RM50,000.
Wanita itu diwakili oleh Shamsher Singh Thind dan J Gunamalar, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi mewakili JPN.
Shamsher memberitahu mahkamah dia akan mendapatkan arahan wanita itu mengenai tindakan seterusnya.