
Jabatan Audit juga berkata, objektif audit cukai syarikat telah tercapai kerana kes tiada penemuan audit menunjukkan peningkatan tahap pematuhan oleh pembayar cukai.
“Namun demikian, terdapat kelemahan terhadap penyelesaian kes audit cukai syarikat, dengan kes diselesaikan melebihi tempoh ditetapkan serta kes tertunggak di antara enam bulan hingga enam tahun.
“Perkara ini boleh menyebabkan berlaku kelewatan mengeluarkan notis taksiran tambahan dan akan mengakibatkan cukai tertangguh kepada kerajaan,” kata jabatan itu dalam Laporan Ketua Audit Negara 2020 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini.
Selain itu, terdapat ketidakpatuhan dalam menetapkan kata laluan seperti ditetapkan dalam Dasar Keselamatan ICT (DKICT) terkini, serta penilaian tahap keselamatan rangkaian dan sistem tidak dijalankan bagi tiga sistem, iaitu sistem taksir sendiri syarikat, sistem penilaian risiko dan sistem pengurusan kes.
Secara keseluruhannya, dapat dirumuskan bahawa pengurusan aktiviti audit cukai syarikat telah dilaksanakan dengan cekap dan berkesan. Hal ini kerana petunjuk prestasi utama (KPI) korporat dan KPI cawangan telah mencapai sasaran ditetapkan serta mempunyai tunggakan kes kurang daripada 10%.
Laporan itu juga mengesyorkan supaya untuk LHDN mengambil tindakan segera menyelesaikan kes tertunggak di cawangan serta sentiasa memantau kes yang disalurkan ke cawangan supaya tidak berlaku tunggakan kes berpanjangan.
Ia juga perlu mengkaji prosedur kerja/standard kualiti audit serta mewujudkan satu mekanisme untuk mengatasi kes tertunggak supaya setiap kes dapat diselesaikan dalam tempoh munasabah.
“Kementerian Kewangan perlu mengkaji dasar dan peruntukan undang-undang berkaitan perkongsian maklumat pembayar cukai antara LHDN dengan pihak ketiga bagi membantu mempercepatkan penyelesaian kes audit cukai syarikat.
“Ia juga perlu memastikan aspek kawalan dalaman terhadap pengurusan kata laluan dan kawalan pengurusan rangkaian dilaksanakan untuk semua aplikasi dalam inisiatif transformasi hasil di bawah projek hasil sistem cukai integrasi yang ditetapkan dalam DKICT,” katanya.