Henti tanya soalan tak relevan, peguam Najib diberitahu

Henti tanya soalan tak relevan, peguam Najib diberitahu

Pasukan pembelaan Najib Razak mengemukakan soalan tidak relevan kepada bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Ismee Ismail.

Najib Razak berdepan 25 tuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dakwaan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun bank.
KUALA LUMPUR:
Pihak pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB Najib Razak hari ini mempersoalkan pasukan pembelaannya dalam mengemukakan soalan tidak relevan kepada bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Ismee Ismail, yang merupakan saksi pendakwaan ke-13.

Ketua pasukan pendakwaan, Gopal Sri Ram memberitahu Mahkamah Tinggi, soalan yang dikemukakan peguam Najib, Hariharan Tara Singh tidak relevan dan meminta mereka mengajukan soalan lebih baik untuk menjimatkan masa mahkamah.

“Saya tidak nampak kaitannya. Saya sudah lama bersabar dengan semua dokumen yang dikemukakan kepadanya, ia mestilah ada kaitan dengan soalan itu.

“Jadi, saya akan sangat berterima kasih sekiranya rakan saya dapat menerangkan kepada kami dan Yang Arif, kaitan soalan yang diajukan kepada Shahrol Azral Ibrahim Halmi (bekas CEO 1MDB),” kata Sri Ram.

Dalam pemeriksaan balas, Hariharan bertanya kepada Ismee mengenai kejadian melibatkan Shahrol dan bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang.

Peguam itu berkata, kaitan soalan itu untuk menunjukkan Shahrol dan Tang adalah orang utama yang mewakili pengurusan 1MDB dalam transaksi tertentu dan mereka adalah orang yang tidak mematuhi keputusan lembaga pengarah.

“Pihak pembelaan ingin menegaskan Shahrol dan Tang bertindak bertentangan mandat lembaga (pengarah). Apa yang kami mahu tunjukkan ialah bagaimana kedua-dua individu ini telah memanipulasi skim ini dan kami bertanyakan pendirian lembaga pengarah 1MDB mengenainya.”

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian menegaskan ia tidak mengapa jika Ismee ditanya tentang apa yang dia tahu.

“Jika dia tahu atau jika dia mempunyai pengetahuan peribadi tentang apa sahaja yang kamu tanya, ia adalah bagus. Tetapi kebanyakan yang anda tanya, dia tidak mengetahuinya.”

Hakim itu berkata, jawapannya sudah tersedia di dalam dokumen dan pihak pembelaan boleh menukar soalan dengan meletakkan cadangan mereka menggunakan cara mudah bagi Ismee bersetuju atau tidak bersetuju, bukannya mengulangi kandungan yang dinyatakan dalam dokumen itu.

“Saya tidak nampak kesudahan untuk saksi pada masa akan datang, jika ia berterusan begini. Bolehkah perkara ini kita buat kesimpulan?

“Hanya tanya (Ismee) apa yang anda mahu kemukakan dalam kes anda dan tinggalkan yang lain untuk penghujahan,” kata hakim.

Bagaimanapun, peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata, jika mahkamah berpendapat sedemikian, ia disebabkan bagaimana Shahrol dan yang lain meletakkannya seperti itu untuk mengelirukan semua orang.

“Ini adalah kes yang sangat rumit. Kes ini melibatkan banyak dokumen dan transaksi. Ia bukanlah kes yang mudah diputuskan atau diselesaikan,” katanya.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.