APMM rampas ganja RM2.2 juta terapung di Kuala Perlis

APMM rampas ganja RM2.2 juta terapung di Kuala Perlis

APMM berkata, nelayan Thailand dipercayai membawa masuk dadah ke perairan negara dan membawa pulang ketum ke negara mereka.

Ketulan ganja mampat seberat 446kg ini dipercayai cuba diseludup dari Thailand untuk pasaran Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. (Gambar Bernama)
KUALA PERLIS:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup masuk 446 ketulan ganja mampat seberat 446kg dianggarkan bernilai RM2.2 juta di dua lokasi berasingan menerusi rondaan Op Aman di perairan Perlis semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kedah dan Perlis, Saliza Ahmad berkata, semua dadah itu dirampas pada kedudukan 4.4 batu nautika barat muara Kuala Perlis pada 10.33 pagi dan 2.2 batu nautika barat Kuala Perlis pada 11.15 pagi.

“Rampasan dibuat selepas anggota APMM yang melakukan rondaan menjumpai beberapa bungkusan plastik hitam terapung yang mencurigakan di perairan tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis hari ini.

Saliza berkata, hasil pemeriksaan terhadap plastik hitam itu menemui 18 bungkusan guni plastik berwarna putih mengandungi ketulan ganja mampat yang dipercayai cuba diseludup dari Thailand.

Beliau berkata, dadah itu dipercayai untuk pasaran Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

“Ini merupakan rampasan terbesar Zon Maritim Kuala Perlis setakat ini bagi tahun ini dan lokasi penemuan juga tidak jauh dari sempadan perairan Thailand,” katanya sambil menambah dadah itu dibawa ke Zon Maritim Kuala Perlis untuk siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, modus operandi sindiket pengedaran dadah dari negara jiran itu adalah menggunakan bot fiber dengan enjin sangkut berkuasa tinggi dan sindiket itu juga dipercayai didalangi nelayan negara jiran serta tempatan yang membuat pertukaran ganja dengan daun ketum.

“Mereka (nelayan Thailand) dipercayai membawa masuk dadah dari sana ke perairan negara dan akan membawa pulang daun ketum ke negara mereka.

“Sindiket ini akan membuang ganja ke laut, sekiranya menyedari kehadiran pihak berkuasa dan meloloskan diri ke Thailand,” katanya.

Beliau berkata, APMM akan memperhebatkan pemantauan di sempadan perairan negara dan meminta orang ramai melaporkan sebarang kes penyeludupan bagi membolehkan tindakan diambil segera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.