Jangan lengah bentang RUU antilompat parti, kata Khaled

Jangan lengah bentang RUU antilompat parti, kata Khaled

Naib Presiden Umno itu menyifatkan RUU itu 'langkah sangat progresif' dan sejajar iltizam Umno membasmi semua bentuk penyelewengan mandat oleh wakil rakyat.

Khaled Nordin berkata, penangguhan RUU antilompat parti akan menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat tentang komitmen Umno dalam menjuarai reformasi politik dan institusi.
PETALING JAYA:
Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin menggesa kerajaan tidak melengahkan pembentangan rang undang-undang (RUU) antilompat parti.

Beliau menyifatkan RUU itu “langkah sangat progresif” dan sejajar iltizam Umno membasmi semua bentuk penyelewengan mandat oleh wakil rakyat.

“Penangguhan pembentangan RUU tersebut jika dibiarkan terlalu lama akan menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat tentang komitmen Umno dalam menjuarai reformasi politik dan institusi seperti yang dijanjikan.

“Justeru, ikhtiar yang penting sebegini janganlah dilengah-lengahkan lagi dan mesti diberikan segala keutamaan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, RUU itu merupakan bahagian penting daripada reformasi politik didukung Umno dan Pakatan Harapan (PH).

“Sokongan bipartisan sedemikian bukan sahaja unik, tetapi menggambarkan betapa Malaysia sedang bergerak di landasan betul dalam kematangan politiknya.”

Beliau berkata, budaya melompat parti menyebabkan negara mengalami ketidakstabilan politik yang merencatkan kemajuan dan pembangunannya.

Semalam, Pengerusi DAP yang baharu, Lim Guan Eng mengingatkan kerajaan bahawa memorandum persefahaman antara pembangkang dan Putrajaya akan terbatal, jika RUU antilompat parti tidak dibentang di Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.