
Kemalangan itu menyebabkan sebuah kereta jenis Nissan Almera terbakar sehingga musnah 90%, manakala kereta Proton Wira pula dilaporkan terbalik tetapi tidak dijilat api, kira-kira 2 pagi tadi.
Sehingga kini, hanya tiga mangsa yang menaiki Proton Wira telah dikenal pasti, iaitu dua lelaki berusia 26 dan 49 tahun dan wanita berumur 52 tahun manakala identiti mangsa yang rentung dalam sebuah lagi kereta masih belum dikenal pasti.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Sayani Saidon, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima laporan berhubung kebakaran kereta terbabit pada 2.22 pagi.
Sayani berkata, operasi disertai pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Ezzat Ezzani Emran dan dibantu pasukan dari BBP Jalan Raja serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tanah Merah.
Katanya, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 2.56 pagi dan mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa pertama, iaitu pemandu kereta Proton Wira berjaya dikeluarkan anggota operasi pada jam 4.07 pagi, disusuli mangsa kedua pada jam 4.28 pagi. Mangsa ketiga berjaya dikeluarkan pada jam 5.43 pagi dan seterusnya mangsa yang rentung.
“Mayat semua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Sayani berkata, berdasarkan penilaian awal, mangsa yang rentung dipercayai lelaki tetapi identitinya belum diperoleh.
Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada 6.05 pagi tadi.