Van jenazah pun kena ‘rembat’

Van jenazah pun kena ‘rembat’

Petugas masjid mahu menunaikan solat Zuhur dan mendapati van itu hilang tengahari semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Saifudin Aslin Abbas, berkata van jenazah berwarna perak jenis Kia Pregio ditemui anggota polis di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar lewat malam semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebuah van jenazah yang dilaporkan hilang di sebuah masjid di Kampung Padang Lati, Padang Besar, Perlis ditemui semula lewat malam tadi.

Dalam kejadian 12.45 tengah hari itu, polis menerima aduan mengenai kes tersebut daripada seorang pembantu Masjid Al-Ghafor, Kampung Padang Lati.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Saifudin Aslin Abbas, berkata pengadu memaklumkan rakan setugasnya bahawa dia telah melihat kenderaan berkenaan di persimpangan Alor Tampang, pada 10 pagi, namun tidak mengesyaki sesuatu.

Beliau berkata, rakan setugas pengadu pergi ke masjid untuk menunaikan solat Zohor, namun mendapati van jenazah itu tiada di tempatnya sebelum menghubungi pengadu.

“Sebaik dihubungi, pengadu memaklumkan dia berada di rumah dan tidak tahu siapa yang memandu van tersebut,” katanya menurut laporan Kosmo.

Menurut Saidudin, siasatan awal mendapati, van itu ditinggalkan di kawasan masjid dalam keadaan tidak berkunci dengan kunci kenderaan diletakkan di dalam van tersebut.

“Pembantu masjid bersama orang kampung kemudian pergi mencari van itu tetapi gagal menemuinya dan mengesyaki kenderaan tersebut dicuri,” katanya.

Katanya lagi, hebahan telah dibuat Balai Polis Beseri dan van jenazah berwarna perak jenis Kia Pregio ditemui anggota polis di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar lewat malam semalam.

“Susulan itu, polis giat mengesan suspek yang mencuri dan melarikan sebuah van jenazah tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.