Tok Mat perjelas mengapa PRU15 patut diadakan tahun ini

Tok Mat perjelas mengapa PRU15 patut diadakan tahun ini

Pembangkang berpecah-belah antara sebab mengapa Mohamad Hasan merasakan Umno akan mendapat manfaat jika mengadakan PRU15 sebelum Julai.

Mohamad Hasan memberitahu, PRU15 perlu diadakan segera memandangkan menteri yang ada sekarang tidak berupaya menyelesaikan beberapa isu.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan memberitahu bahawa “masa terbaik” untuk mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) adalah sebelum suku ketiga tahun ini.

Ia berdasarkan kepada “faktor semangat” dalam kalangan jentera pilihan raya Umno selepas mencatat kemenangan meyakinkan pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor selain pembangkang yang berpecah-belah.

“Inilah masa yang terbaik untuk Umno jika PRU15 diadakan sebelum Julai.

“Inilah tugas hakiki saya (merancang pilihan raya). Kalau saya bercakap orang tak boleh marah dan jangan pula mengatakan saya mahu menjadi Perdana Menteri,” katanya ketika muncul dalam program Agenda Awani malam ini.

“Kalau tak ada orang merancang bagi pihak parti, siapa? Saya dengan jawatankuasa dan bilik gerakan merancang dan memberitahu parti. Ini dia, masa ketika dia (PRU15) dalam ‘window’ (masa) mana.

“Kerana bagi saya, masa terbaik untuk masuk PRU ialah suku ketiga tahun ini, disebabkan beberapa faktor dan tak payah saya ulang lagi,” katanya Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat.

Desakan mengadakan PRU secepat mungkin menjadi topik perbincangan sepanjang Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang berakhir hari ini.

Awal hari ini, Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, yang juga Perdana Menteri, berkata lima pemimpin tertinggi parti itu akan membincangkan sebarang keputusan untuk meminta pembubaran Parlimen bagi membuka laluan kepada PRU15.

Beliau juga berkata, kepimpinan Umno akan memberikan pandangan mereka sebelum beliau memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dengan penggalnya berakhir sehingga Julai tahun depan.

Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan menegaskan, PRU15 perlu diadakan dengan cepat memandangkan menteri yang ada sekarang tidak dapat menyelesaikan isu seperti kenaikan kos bahan dan makanan.

“Prestasi menteri-menteri Umno memang baik, tetapi keseluruhannya kerajaan ini bukan kerajaan Umno. Banyak lagi elemen-elemen dari menteri lain, yang prestasinya tidak baik.

“Malas saya nak cakap (siapa menteri), tapi harga barang tidak masuk akal. Harga bekalan binaan terlampau tinggi, naik 3% hingga 40%. Telur susah nak jumpa. Tapi saya tidak nampak langkah yang dibuat untuk memantau keadaan ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.