Persoalan mengenai masa depan DAP berlegar menjelang kongres

Persoalan mengenai masa depan DAP berlegar menjelang kongres

Selain pemilihan pengganti Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung, isu-isu lain yang dijangka tampil dalam kongres kali ini adalah prestasi parti dalam arena politik dan pendirian parti dalam isu komunal.

Loke Siew Fook dijangka menggantikan Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung DAP, namun Liew Chin Tong juga dipertimbangkan.
PETALING JAYA:
Persoalan mengenai siapa pengganti Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung DAP, pendirian parti dalam isu komunal dan kemajmukan kaum, serta prestasinya dalam politik persekutuan dijangka dipaparkan pada kongres tahunannya yang diadakan hari ini.

Lim, 62, telah memegang jawatan berkenaan sejak 2004. Beliau telah mencapai had tiga penggal dan mungkin mengambil peranan Pengerusi, menurut sumber dalaman parti.

Setiausaha Penganjur Kebangsaan Loke Siew Fook dijangka akan mengambil alih jawatan Lim, tetapi timbul ura-ura bahawa Ketua DAP Johor Liew Chin Tong dan Ketua DAP Perak Nga Kor Ming mungkin terpilih.

“Sukar untuk katakan sama ada pengaruh Lim kuat terhadap calon-calon ini. Mungkin ada antara mereka yang berfikiran bebas, dan ini tidak disukai kepimpinan lama. Akar umbi bertaruh atas Loke dan Liew, manakala Nga adalah ‘wildcard’,” katanya.

“Namun Setiausaha Agung baharu akan mengemudi haluan parti seterusnya menjelang pilihan raya umum (PRU) yang semakin hampir dan imej roket (logo DAP) telah merosot ke paras terendah susulan kekalahan dalam tiga pilihan raya negeri (PRN).”

Katanya, Lim mungkin akan mencanang pencapaian lalu dan cuba meyakinkan perwakilan untuk melupakan kekalahan teruk pada PRN Melaka, Sarawak dan Johor baru-baru ini.

Beliau menjangkakan Lim akan menekankan fakta bahawa walaupun berada di Putrajaya hanya bagi tempoh singkat dan timbulnya pelbagai masalah lain, 42 Ahli Parlimen parti itu tidak sesat, dan perbalahan dalam parti kurang berbanding parti Pakatan Harapan (PH) yang lain.

Seorang ketua cawangan di Pulau Pinang berkata, parti itu harus menampilkan muka baharu untuk lebih bersedia menghadapi pilihan raya akan datang memandangkan bilangan pengundi muda lebih besar.

“Orang-orang lama mesti berundur, (ahli) sudah muak dengan kepimpinan anak beranak,” katanya.

Seorang pemimpin kanan DAP yang tidak mahu dikenali berkata, perwakilan Cina dijangka menzahirkan kebimbangan mereka tentang hubungan DAP dengan Dr Mahathir Mohamad dan sekutunya, memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani PH dengan kerajaan Ismail Sabri Yaakob, dan pelbagai isu komunal lain.

“Wujud rasa tidak puas hati dengan keluarga Lim kerana tidak menentang Dr Mahathir dan tidak melaksanakan peruntukan MoU dengan baik,” katanya.

Selain menyatakan bahawa beberapa perwakilan bimbang parti itu seolah-olah tidak lagi mewakili kepentingan kaum Cina, pemimpin itu berkata, timbul juga kebimbangan dalam kalangan segelintir anggota kanan mengenai trajektori DAP yang lebih berbilang kaum.

Di Kedah, seorang pemimpin parti berkata, wujud keperluan mendesak bagi parti itu untuk menyokong ahli Melayu, India dan Borneo agar kepimpinan dapat dipelbagaikan, membuktikan ia serius mengenai suara minoriti.

Di Kota Kinabalu, seorang ahli parti menzahirkan kebimbangan bahawa beberapa perwakilan tidak mampu terbang ke Kuala Lumpur untuk mengundi secara fizikal, sambil menambah, pusat undian sepatutnya ditubuhkan di Sabah dan Sarawak untuk mengutip undi perwakilan Malaysia Timur.

Bagaimanapun, Loke memberitahu FMT, akan ada perwakilan Borneo yang turun mengundi, tetapi beliau tidak mengulas lanjut.

Seramai 4,150 perwakilan dijangka mengundi 93 calon. Kongres itu sepatutnya diadakan pada Jun tahun lepas tetapi ditangguhkan berikutan peningkatan kes Covid-19.

DAP tidak memilih pemimpin tertingginya secara langsung. Sebaliknya, perwakilan daripada cawangan di seluruh negara akan mengundi 30 ahli dalam jawatankuasa eksekutif pusat (CEC), badan tertinggi parti.

Ahli-ahli CEC yang terpilih kemudiannya akan memutuskan siapa yang mengambil jawatan parti yang berbeza, dan akan menggabungkan 10 lagi ahli ke dalam CEC.

Pemimpin kanan parti Chong Eng berharap sekurang-kurangnya sembilan wanita memegang jawatan yang dipilih dalam CEC, yang kini hanya dianggotai enam wanita.

Loke berkata, ini adalah selaras dengan aspirasi negara untuk mempunyai sekurang-kurangnya 30% wanita dalam peranan kepimpinan, sambil menambah, parti itu meminda perlembagaannya semasa kongres parti yang lepas khusus untuk ini.

Chong berkata: “Tidak lama lagi, kita tak perlu sayap wanita yang berasingan, hanya sebuah biro hal ehwal wanita, kerana teras DAP akan mempunyai sekurang-kurangnya 30% perwakilan wanita. Ini akan menjadi detik terbesar dalam sejarah DAP selama 56 tahun.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.