
Menurut Lim, PH mendesak kerajaan menggubal RUU itu bulan ini bagi menghentikan tindakan wakil rakyat lompat parti yang menurutnya telah mencemarkan keseluruhan proses demokrasi negara.
Bagaimanapun Jumaat lalu Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kabinet memutuskan bahawa RUU itu masih memerlukan penelitian lanjut bagi memastikan pindaan itu mendapat sokongan di Dewan Rakyat.
“Terdapat beberapa kekeliruan mengenai status perkara ini sekarang, di mana Aturan Urusan Parlimen terkini mendedahkan pembentangan Bacaan Pertama Pindaan Perlembagaan Rang undang-undang esok di Parlimen.
“Sekiranya Undang-undang Anti Lompat Parti tidak diluluskan seperti yang dijanjikan dalam MoU yang ditandatangani oleh Perdana Menteri, maka MoU itu terbatal dan ditamatkan,” kata Lim ketika berucap pada Kongres DAP hari ini.
Dalam ucapan terakhirnya sebelum berundur dari jawatan Setiausaha Agung yang disandang sejak 2004, Lim berkata sepanjang tempoh menjawat jawatan itu, beliau telah menetapkan tiga matlamat untuk DAP yang masih relevan pada hari ini.
“Pertama, kita harus membina semula semangat tempur dan semangat parti selepas pilihan raya berturut-turut yang menunjukkan kemajuan yang perlahan dari 1995 ke 2004.
“Kedua, kita harus menarik ahli muda dan pemimpin yang berpotensi ke dalam parti untuk menyemarakkan semula semangat parti. Akhir sekali, kita harus memaksimakan kekuatan keseluruhan parti dengan menggembleng kekuatan segala pemimpin, sama ada yang muda mahupun yang berpengalaman,” katanya.
Dalam sidang media selepas itu, Lim menjelaskan MoU tersebut masih boleh ‘diselamatkan’ sekiranya di pihak Perdana Menteri yang mewakili kerajaan menjelaskan mengenai apakah nasib RUU itu.
Beliau berkata perlunya bersemuka dan berbincang dengan lebih lanjut kerana parti pembangkang mengalami kekeliruan berhubung kenyataan dibuat menyentuh perkara itu.
“Saya cakap kita perlu jernihkan disini. Kalau ini tidak diluluskan, saya rasa akan tamatkan MoU melainkan ada beberapa penjelasan terlebih dahulu.
“Apa pun, marilah mendapatkan penjelasan dan Perdana Menteri juga bersetuju untuk bertemu dengan kami pada minggu depan. Ini bagi mendapatkan keterangan daripada Perdana Menteri.
“Kami mahu bincang hal ini sebab dalam aturan (urusan mesyuarat Dewan Rakyat) esok, pindaan Perlembagaan akan dibentangkan untuk bacaan pertama. Setakat kami tahu adalah hanya pindaan Perlembagaan yang dibincangkan dengan kita adalah RUU Anti Lompat Parti.
“Dan kerajaan perlu berbincang dengan pembangkang mengenai pindaan Perlembagaan untuk dua sebab. Pertama, ia seperti dinyatakan dalam MoU bahawa ia mesti dibincangkan dengan kita. Kedua, anda tiada majoriti dua pertiga melainkan di pihak kami bersetuju baru ada majoriti. Tanpa sokongan kami mereka tidak boleh meluluskan pindaan Perlembagaan,” katanya.