Pemandu Honda Civic ‘sesat’ masuk lorong motosikal ditahan

Pemandu Honda Civic ‘sesat’ masuk lorong motosikal ditahan

Polis sebelum itu mengesan satu video berdurasi 30 saat mengenai kejadian berkenaan dimuat naik seorang pemilik akaun Facebook.

Tangkapan terhadap lelaki berusia 30 tahun terbabit ketika dia hadir di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada 6.30 petang semalam, menurut Sarifudin Mohd Salleh.
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang pemandu Honda Civic yang dikesan menggunakan laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Sarifudin Mohd Salleh berkata, sebelum itu pihaknya mengesan satu video berdurasi 30 saat mengenai kejadian berkenaan.

Katanya, video berkenaan dimuat naik pemilik akaun Facebook, Mazli Alias dalam halaman Facebook DashCam Owners Malaysia pada 2.41 petang semalam.

“Hasil siasatan dilakukan mendapati kejadian itu dipercayai berlaku di lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Jalan Pantai Baharu.

“Bertindak atas aduan itu, kami mengesan pemandu kereta berkenaan dan membuat tangkapan terhadap lelaki berusia 30 tahun terbabit ketika dia hadir di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada 6.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan.

Sarifudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik (JSPT) Jalan Tun H S Lee di talian 03- 20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.