Mendaulatkan bahasa Melayu bukan di bahu PM saja, kata perwakilan

Mendaulatkan bahasa Melayu bukan di bahu PM saja, kata perwakilan

Perwakilan Perak Azhar Ahmad berkata memperkasakan bahasa Melayu adalah keperluan memandangkan ia merupakan bahasa ke-10 paling popular penggunaannya.

Perwakilan Perak Azhar Ahmad turut menggesa agensi kerajaan supaya bersama mendaulatkan penggunaan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi kerajaan. (Gambar Youtube)
KUALA LUMPUR:
Mendaulatkan bahasa Melayu tidak hanya terletak di bahu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, bahkan perlu turut dipikul oleh seluruh ahli Umno.

Membangkitkan perkara itu pada sesi perbahasan ucapan dasar Presiden Ahmad Zahid Hamidi hari ini, perwakilan Perak Azhar Ahmad berkata memperkasakan bahasa Melayu adalah keperluan memandangkan ia merupakan bahasa ke-10 paling popular penggunaannya di dunia.

“Perdana Menteri dah sebut di Thailand (tentang) keperluan untuk memperkasakan bahasa Melayu ini. Jadi kalau kita (Umno) tidak sambut seruan itu, bagaimana orang lain nak peduli dengan bahasa kita?

“Jadi saranan perdana menteri untuk perkasakan bahasa Melayu mesti Umno sambut tanpa sikit pun rasa segan silu,” kata Ketua Umno Bahagian Beruas itu.

Pada 26 Feb lepas, Ismail dilapor berkata Malaysia menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

Sementara itu, Azhar turut menggesa agensi kerajaan supaya bersama-sama mendaulatkan penggunaan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi kerajaan.

“Agensi kerajaan kena laksanakan dengan cepat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.