Kempunan rompak kedai emas guna spanar

Kempunan rompak kedai emas guna spanar

Suspek bertaraf amatur tidak sempat mengambil barang kemas selepas perbuatan disedari pemilik premis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Christopher Patit, berkata pemilik kedai kerugian kira-kira RM10,000 bagi kos membaiki cermin kaca yang rosak. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki bersenjatakan spanar gagal merompak sebuah kedai emas di Jalan Bunga Raya, Melaka, pagi tadi.

Suspek hanya sempat memecahkan cermin pameran sebelum melarikan diri selepas perbuatannya disedari pemilik premis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Christopher Patit, berkata pihaknya masih memburu suspek dipercayai ‘bertaraf amatur’ dan terdesak untuk mendapatkan wang segera.

Katanya, hasil siasatan mendapati, suspek dilihat menunggu beberapa minit di atas motosikal di luar premis sebelum bertindak.

“Sebaik memasuki kedai, suspek cuba memecahkan kaunter cermin kaca menempatkan pelbagai barang kemas menggunakan spanar dibawanya.

“Namun, hentakkannya itu hanya memecahkan lapisan pertama cermin sebelum disedari pemilik kedai emas yang berusia 30-an.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan motosikal yang diletakkan di luar kedai tanpa sempat melarikan barang kemas.

“Walaupun tidak sempat melarikan barang kemas, difahamkan pemilik kedai mengalami kerugian kira-kira RM10,000 bagi kos membaiki cermin kaca yang rosak,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.