Isteri bekas pegawai bank Goldman turut bersubahat, mahkamah AS diberitahu

Isteri bekas pegawai bank Goldman turut bersubahat, mahkamah AS diberitahu

Pendakwa menuduh Lim Hwee Bin membantu suaminya dengan membuka akaun UBS dan syarikat “shell” pada 21 Mei 2012, hari yang sama transaksi bon 1MDB pertama ditutup.

Roger Ng adalah satu-satunya pegawai bank Goldman yang dibicarakan berkaitan penyelewengan dana 1MDB. (Gambar Reuters)
NEW YORK:
Isteri kepada bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Roger Ng menjadi figura penting dalam perbicaraan rasuahnya di luar negara, kerana pendakwa berhujah dia membantu suaminya mengubah secara haram berjuta-juta dolar yang diseleweng daripada 1MDB.

Mereka mahu juri mendengar kenyataan dibuat isteri Ng, Lim Hwee Bin, kepada pegawai bank mengenai akaun dan “shell company” yang mereka katakan dibukanya pada 2012, walaupun peguam Ng bercadang untuk memanggilnya sebagai saksi bagi pihaknya.

Pihak pembelaan berkata, Lim akan memberi keterangan bahawa USD35.1 juta yang dipindahkan ke dalam akaun bawah kawalannya bukan wang 1MDB tetapi adalah untuk transaksi perniagaan yang tidak berkaitan.

Ng, satu-satunya pegawai bank Goldman yang dibicarakan berkaitan skandal itu, dituduh bersubahat dengan bekas bosnya Tim Leissner untuk membantu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, menyeleweng berbilion dolar daripada trio perjanjian bon oleh bank untuk 1MDB.

Pendakwa persekutuan di Brooklyn, New York, telah meminta mahkamah membenarkan kenyataan Lim kepada pegawai bank UBS Group AG diterima sebagai sebahagian daripada kes mereka.

Mereka mendakwa, dana 1MDB dipindahkan oleh sekutu Low kepada entiti “shell company” terbabit.

Leissner sebelum ini memberitahu juri dia kemudian mengarahkan supaya USD35.1 juta daripada dana tersebut dipindahkan ke akaun bawah kawalan Lim sebagai sogokan kepada Ng. Entiti itu pada asalnya dipanggil Silken Waters, kemudian dinamakan semula sebagai Victoria Square.

‘Keterangan kukuh’

“Lim mengambil bahagian, secara minimum, dalam konspirasi pengubahan secara haram hasil jenayah,” pendakwa memberitahu mahkamah.

Kenyataannya tentang transaksi itu “adalah keterangan kukuh tentang fakta bahawa defendan dan isterinya mengawal akaun bank Silken Waters/Victoria Square dan bahawa mereka berusaha menyembunyikan kawalan mereka – elemen penting dalam konspirasi pengubahan wang haram seperti yang didakwa”.

Walaupun Lim tidak didakwa dalam kes ini, pendakwa berkata, dia membantu suaminya dengan membuka akaun UBS dan “shell company” pada 21 Mei 2012, hari sama transaksi bon 1MDB pertama ditutup.

Lim menyembunyikan peranannya sebahagiannya dengan membuka akaun atas nama ibunya dan memberikan alamat e-mel “palsu” untuknya, menurut kerajaan Amerika Syarikat.

Dakwanya lagi, nombor telefon yang diberikan untuk akaun itu adalah milik Lim. Dia juga mencipta alamat emel palsu kedua yang digunakannya untuk berkomunikasi dengan pegawai bank yang kemudiannya dipadamkan.

‘Wang keluarga’

Leissner sebelum ini memberi keterangan bahawa selepas FBI menyerahkan kepadanya sepina berkaitan siasatan 1MDB pada 2016, dia berjumpa dengan Ng dan Lim di Hong Kong untuk mereka “cerita” mengenai asal usul dana itu.

Kononnya, ia adalah “pulangan modal” daripada pelaburan Lim dengan keluarga isteri Leissner, Judy Chan, di China.

Peguam bela Ng, Marc Agnifilo, berhujah bahawa dana berkenaan adalah untuk transaksi perniagaan berasingan antara Lim dan Chan, dan ia adalah “wang keluarga Lim yang dilaburkan dalam perniagaan Judy di China”.

Hakim AS Margo Brodie masih belum membuat keputusan mengenai permintaan kerajaan untuk menerima kenyataan Lim mengenai akaun bank dan entiti luar pesisir itu.

Sebagai respons kepada permintaan itu, Agnifilo berhujah bahawa kenyataan Lim kepada pegawai bank UBS tidak sepatutnya diterima kerana pendakwa gagal memastikan bahawa Lim “tahu pada masa itu bahawa dana yang diterima keluarganya daripada Judy adalah hasil jenayah”.

Beliau berkata, tindakan Lim hanya menunjukkan bahawa dia sedang bersedia untuk menerima wang daripada isteri Leissner.

“Tanpa pengetahuan itu, Lim tidak mungkin terbabit dalam satu konspirasi pengubahan wang haram, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.