Tok Mat dilihat cuba dorong pemikiran terbuka dalam Umno, kata penganalisis

Tok Mat dilihat cuba dorong pemikiran terbuka dalam Umno, kata penganalisis

Penganalisis menyifatkan ucapan Timbalan Presiden Umno itu pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) sebagai berani yang bertujuan mendorong akar umbi Umno ke arah pemikiran terbuka.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, ‘survival’ Umno bergantung kepada keupayaan parti itu untuk turut meraih sokongan bukan Melayu. (Gambar Umno Online)
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis menyifatkan ucapan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) sebagai “amat mengejutkan” kerana gesaannya kepada kesederhanaan, kepelbagaian dan keperluan memastikan sokongan bukan Melayu kepada Umno.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, ia adalah ucapan berani yang bertujuan mendorong akar umbi Umno ke arah pemikiran terbuka.

Katanya, ia juga memberi satu mesej kepada bakal rakan kongsi parti itu.

“Ayuh PRU15, Umno mahu membentuk kerajaan dan ia memerlukan semua bantuan yang boleh diperoleh daripada pengundi bukan Melayu,” katanya.

“Tetapi pertama sekali, akar umbi perlu terbuka terhadap perkara ini. Ia akan menjadi perkara yang menarik untuk melihat bagaimana tiga sayap parti membahaskan perkara ini.”

Pada Rabu, Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, ‘survival’ Umno bergantung pada keupayaan parti itu untuk turut meraih sokongan bukan Melayu, selain menambah bahawa parti itu tidak boleh mengharapkan kepada rakan sekutunya sahaja.

Azmi berkata, Umno berdepan cabaran sukar dan perlu melakukan lebih daripada meletakkan calon bukan Melayu atau melaungkan naratif bahawa Umno dan BN adalah sederhana, inklusif dan parti untuk semua.

Beliau mengakui bahawa Umno boleh bertahan dengan undi Melayu sahaja, tetapi mengingatkan parti itu tidak boleh hanya bergantung kepada kelompok pengundi itu untuk membentuk kerajaan pusat yang stabil.

“Jika ia mahu menjadi kerajaan pusat, ia perlu mengubah taktik untuk mendapatkan keyakinan pengundi bukan Melayu,” katanya.

“Mungkin Tok Mat sedang cuba mendapatkan undi pengundi bukan Melayu, tetapi mungkin beliau juga cuba menyampaikan mesej kepada parti politik yang lain bahawa ia terbuka untuk mereka.”

Manakala James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, ucapan Mohamad tidak mengejutkannya kerana bekas menteri besar Negeri Sembilan itu sering dilihat oleh komuniti bukan Melayu sebagai seorang yang sederhana dan progresif.

Bagaimanapun katanya, kebanyakan orang Cina dan India melihat Umno sebagai parti yang mengekalkan gagasan ketuanan Melayu.

“Tidak mungkin orang Cina atau India arus perdana akan menyokong Umno,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.