
Denison Jayasooria dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, gabungan itu tidak memberi sokongan cukup kuat untuk ratifikasi ICERD.
“PH tidak cukup bersatu dalam kalangan mereka, dan tidak menunjukkan barisan bersatu secara menyeluruh. Sokongan mereka untuk meratifikasi ICERD dan pembentangan dasar awam tidak cukup kuat,” katanya dalam perbincangan panel mengenai Persepsi Terhadap Diskriminasi di Malaysia.
Beliau percaya desakan untuk ICERD gagal disebabkan maklumat salah dan agenda politik, selain tiada kepimpinan politik mencukupi di kedua-dua pihak untuk menyokong isu itu.
Denison berkata, pemahaman berhubung ICERD perlu diperkukuhkan kerana naratif konspirasi dalam masyarakat Melayu menguasai perbincangan mengenai ratifikasi konvensyen itu.
Ibrahim Suffian dari Merdeka Center berkata, penerimaan terhadap ICERD berbeza mengikut garis etnik – “61% orang Melayu menentang ICERD, tetapi ramai orang bukan Bumiputera menyokongnya, iaitu 88% orang Cina dan 90% orang India”.
Angka itu adalah hasil dapatan awal pusat terbabit berhubung persepsi terhadap ICERD dan perpaduan nasional di Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, sokongan orang Melayu terhadap ICERD boleh ditingkatkan dengan jaminan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai keistimewaan orang Melayu serta Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Berhubung susunan parti politik, Ibrahim berkata, pada zahirnya, ramai bersetuju semua parti politik perlu terdiri daripada berbilang kaum.
“Terdapat penerimaan besar untuk gabungan berbilang kaum, walaupun dalam kalangan orang Melayu (78%).”
Tetapi, katanya, penerimaan itu berbeza tahapnya kerana kajian menunjukkan ia bergantung kepada sesebuah masyarakat.
“Contohnya, majoriti orang Melayu mahu gabungan etnik campuran dengan parti Melayu mempunyai lebih banyak hak. Orang Cina dan minoriti lain mahu sebuah gabungan, di mana semua etnik mempunyai hak sama rata. (Ramai) mahu perwakilan etnik campuran, tetapi perbezaannya ialah siapa mempunyai lebih banyak hak.”
Webinar anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi sempena hari antarabangsa untuk penghapusan diskriminasi kaum pada 21 Mac ini.