Kanak-kanak lelaki lemas, kereta dinaiki terbabas ke tali air

Kanak-kanak lelaki lemas, kereta dinaiki terbabas ke tali air

Ibu mangsa yang berusia 30 tahun dan adik perempuannya, 4, tidak mengalami kecederaan.

Anggota bomba mencari Muhamad Harith Sulayman Mohd Hanis dalam tali air di Kilometer 32 Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap dekat Kampung Gajah. (Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat)
IPOH:
Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemui lemas akibat terperangkap di dalam kereta, selepas kenderaan yang dinaikinya itu terbabas ke dalam tali air di Kilometer 32 Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap dekat Kampung Gajah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Barudin Wariso berkata, dalam kejadian 5.30 petang itu, Muhamad Harith Sulayman Mohd Hanis disahkan meninggal dunia, manakala ibunya berusia 30 tahun dan adik perempuannya, 4, tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Honda City yang dipandu ibunya dalam perjalanan dari Malim Nawar ke Ulu Dedap, hilang kawalan akibat terlanggar air bertakung, lalu terbabas ke kanan jalan dan masuk ke tali air,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Barudin berkata, mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menemui mayat mangsa pada 8.12 malam tadi.

“Setibanya jentera di lokasi, kami mendapati sebuah kereta dinaiki tiga mangsa tersebut terbabas ke dalam tali air berkedalaman 3.65 meter. Bagaimanapun ibu dan adik perempuannya (Muhamad Harith Sulayman) telah diselamatkan orang awam terlebih dahulu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.