Tukar agama anak: Dua pihak atau sepihak, Putrajaya hormati undang-undang negeri, kata menteri agama

Tukar agama anak: Dua pihak atau sepihak, Putrajaya hormati undang-undang negeri, kata menteri agama

Perkara berkaitan pemelukan Islam bagi kanak-kanak bawah umur digubal dan diluluskan oleh DUN, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.

Idris Ahmad berkata, kerajaan mengambil maklum terdapat perbezaan berhubung keupayaan masuk Islam bagi kanak-kanak di negeri-negeri, sama ada memerlukan izin ‘ibu dan bapa’ atau ‘ibu atau bapa’, “kuasa negeri mengenai perkara ini perlu dihormati oleh semua pihak selari prinsip Rukun Negara (iaitu) ‘Keluhuran Perlembagaan'”. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan persekutuan berpendirian kuasa negeri untuk menggubal undang-undang syariah bagi mentadbir dan mengawal selia semua berkaitan hal ehwal Islam harus dihormati, termasuk berkenaan pemelukan Islam bagi kanak-kanak bawah usia 18 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata demikian ketika menjawab cadangan Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh) agar kerajaan persekutuan melaksanakan penyelarasan undang-undang dengan semua kerajaan negeri bagi menyemak semula status menukar agama kanak-kanak bukan Islam bawah umur yang memasuki Islam.

Idris berkata kerajaan mengambil maklum terdapat perbezaan berhubung keupayaan masuk Islam bagi kanak-kanak di negeri-negeri, sama ada memerlukan izin ‘ibu dan bapa’ atau ‘ibu atau bapa’; “kuasa negeri mengenai perkara ini perlu dihormati oleh semua pihak selari prinsip Rukun Negara (iaitu) ‘Keluhuran Perlembagaan'”.

“Pada masa ini, perkara berkaitan dengan pemelukan Islam bagi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun diperuntukkan di bawah undang-undang pentadbiran agama Islam yang digubal dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri-negeri.

“Bagi Wilayah-wilayah Persekutuan pula, perkara berkaitan dengan pemelukan Islam bagi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun diperuntukkan di bawah Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993,” katanya dalam kenyataan.

Walaupun Mahkamah Persekutuan telah mentafsirkan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan bermaksud pertukaran agama kanak-kanak bawah umur memerlukan persetujuan ibu dan bapa, bagi beliau apa yang mustahak ialah kebajikan dan kepentingan terbaik kanak-kanak tersebut.

“Agama merupakan salah satu daripada aspek penting yang termasuk dalam kebajikan dan kepentingan terbaik kanak-kanak yang perlu dipertimbangkan oleh semua pihak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.