Tanpa PAS, BN Pahang masih ada majoriti, tak perlu ehsan, kata Sharkar

Tanpa PAS, BN Pahang masih ada majoriti, tak perlu ehsan, kata Sharkar

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata tanpa sokongan PAS, Umno dan BN Pahang masih mempunyai sokongan majoriti sah membentuk kerajaan.

Tanpa sokongan PAS, Umno dan BN masih mempunyai majoriti sah untuk membentuk kerajaan negeri, kata Sharkar Shamsudin. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Barisan Nasional (BN) yang menunjangi kerajaan negeri Pahang menegaskan bahawa ia tidak memerlukan ehsan mana-mana parti termasuk PAS untuk menjalankan pentadbirannya dengan lancar, kata ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Sharkar Shamsudin.

Beliau yang juga Exco Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang berkata, tanpa sokongan PAS, Umno dan BN masih mempunyai sokongan majoriti sah untuk membentuk kerajaan negeri.

“Kita tidak pernah bercampur (dalam pentadbiran negeri) dengan PAS, kita ada majoriti sah. (Hubungan baik dengan) PAS kerana dulu dia dalam Muafakat Nasional (MN), jadi mereka rapat dengan kita (Umno), tetapi sekarang mereka tidak bersama kita lagi. Tetapi saya tidak tahu (pendirian terbaharu mengenai MN).

“Campur PAS kita ada 2/3 majoriti tetapi sekiranya PAS tidak lagi bersama (menyokong kita), kita masih ada majoriti sah, maksudnya kita tak perlu berkongsi kuasa dengan siapa-siapa… kita tak perlu nak minta ehsan daripada orang lain,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).

Beliau ditanya mengenai kerjasama Umno dan PAS dalam pentadbiran negeri selepas hubungan dingin antara kedua-dua parti susulan beberapa siri pilihan raya negeri (PRN) termasuk di Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor.

Dalam kempen PRN Johor, baru-baru ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang secara terbuka menggesa pengundi Johor “merehatkan” Umno untuk mengelakkan berlaku salah laku, penyelewengan dan rasuah.

“BN-Umno sudah memerintah 60 tahun. Mengikut adatnya, kalau manusia 60 tahun, sudah tua, sudah lemah, mengalami kelemahan, maka berlakulah kelemahan-kelemahan, berlaku rasuah, salah laku, penyelewengan dan macam-macam,” kata Hadi dalam satu ceramah.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerjasama PAS-Umno menerusi MN belum ditamatkan.

Dalam pada itu, Sharkar menambah, Umno dan BN di Pahang masih teguh walaupun negara berdepan tsunami politik ketika pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

“Pahang agak unik kerana ia salah satu negeri, selain Perlis, ketika dilanda tsunami politik.. (BN) Pahang masih bertahan,” katanya.

Pada PRU14, BN memperoleh 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Pakatan Harapan (PH) (sembilan), manakala PAS (lapan) di Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.