‘Tak boleh eksport ketum’, Hamzah beritahu MB Kedah

‘Tak boleh eksport ketum’, Hamzah beritahu MB Kedah

Bagaimanapun Kementerian Dalam Negeri akan meneliti perkara itu namun pengeksportan daun ketum ketika ini dilarang.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, permintaan itu mungkin datang secara peribadi kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.
PETALING JAYA:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan memberi kebenaran kepada negeri Kedah untuk mengeksport ketum secara sah ke Thailand, kata Hamzah Zainudin.

Menteri Dalam Negeri berkata, permintaan Kedah setakat ini adalah permintaan secara peribadi kepada Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor.

“Itu adalah permintaan mereka. Mungkin datang secara permintaan peribadi kepada Menteri Besar Kedah.

“Kita akan meneliti perkara itu, namun setakat ini ia tidak akan dibenarkan lagi atas alasan tertentu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Ditanya mengenai alasan KDN enggan memberi kebenaran eksport itu, Hamzah antara lainnya menyebut berhubung akta sedia ada berkaitan ketum.

Semalam, Sanusi dalam sidang medianya di Wisma Darul Aman, Alor Setar, mencadangkan supaya kerajaan menggubal undang-undang bagi membenarkan daun ketum dieksport ke luar negara bagi tujuan perubatan disebabkan harganya yang tinggi.

“Tapi kena ada peraturan dialah. Dikatakan Kedah ada tanah paling sesuai untuk pertumbuhan dan pembesaran spesies ketum paling baik untuk perubatan yang sudah diusahakan di Thailand”.

Katanya, permintaan tinggi daun ketum di negara ini menyebabkan harganya mencecah sehingga RM30 sekilogram.

“Sampai di sempadan RM100 (sekilogram), sampai di tempat proses di Thailand, RM150 sekilo, patut la orang pulun seludup,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan menerusi agensi keselamatan menggunakan sumber yang banyak semata-mata untuk membanteras penyeludupan daun ketum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.