Polis nafi dakwaan culik, nota suara pernah tular 2019

Polis nafi dakwaan culik, nota suara pernah tular 2019

Semakan mendapati nota suara yang mendakwa kejadian tersebut berlaku di Kahang, Kluang, Mersing dan Masai itu merupakan audio lama yang pernah tular pada 2019.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata, perbuatan menyebar dan membuat spekulasi palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Polis menafikan terdapat kejadian penculikan, pembunuhan serta pengambilan organ dalaman kanak-kanak di negeri ini seperti nota suara yang tular menerusi aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook, hari ini.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata hasil semakan mendapati nota suara yang mendakwa kejadian tersebut berlaku di Kahang, Kluang, Mersing dan Masai itu merupakan audio lama yang pernah tular pada 2019.

“Perbuatan (penyebaran nota suara) tersebut dilihat sebagai satu cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai.

“Perbuatan menyebar dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan dakwaan sedemikian yang diperoleh daripada sumber yang tidak sahih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.