Permohonan Najib dapatkan dokumen keluarga Zeti, Jho Low didengar Mei

Permohonan Najib dapatkan dokumen keluarga Zeti, Jho Low didengar Mei

Tarikh pendengaran pada 10 Mei ditetapkan hari ini ketika pengurusan kes secara maya di depan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Rayuan Nurul Azrina Mohamed Yusof.

Najib Razak dibicarakan atas 25 dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB berjumlah RM2.28 billion. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Rayuan Najib Razak untuk mendapatkan dokumen berkaitan syarikat yang dikawal oleh keluarga bekas Gabenor Bank Negara (BNM) Zeti Akhtar Aziz dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, untuk perbicaraan 1MDB yang sedang berjalan akan didengar pada 10 Mei.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam berkata, tarikh itu ditetapkan hari ini ketika pengurusan kes secara maya di hadapan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Rayuan Nurul Azrina Mohamed Yusof.

Najib diwakili peguam Nur Syahirah Hanapiah.

Pada 12 Julai 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk mendapatkan dokumen berkenaan kerana ia dianggap terlalu awal.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata, beliau tidak nampak bagaimana dokumen bank berkaitan dana diterima oleh keluarga Zeti relevan dengan pembelaan Najib.

Sequerah berkata, dokumen yang diminta oleh Najib untuk mempersoalkan kredibiliti Zeti sebagai gabenor BNM ketika itu juga “sama seperti serangan sampingan”.

“Peguam boleh bersemuka dengannya (Zeti) apabila dia dipanggil ke kandang saksi nanti,” katanya.

Mahkamah itu turut menolak permohonan Najib untuk mendapatkan rekod panggilan telefon bimbit bekas pegawai bank Goldman Sachs Tim Leissner dengan berkata, pihak pendakwaan telah menjelaskan bahawa ia tidak mempunyai dokumen itu dalam milikannya.

“Tuntutan dalam notis usul untuk mendapatkan rekod telefon bimbit tidak mampu dikuatkuasakan.

“Ia adalah bukti bahawa rekod telefon yang dicari oleh tertuduh (Najib) bukan sebahagian daripada kes pendakwaan terhadapnya dan oleh itu pihak pendakwaan tidak bertanggungjawab untuk memberikan dokumen ini,” kata Sequerah.

Mengenai percubaan Najib untuk mendapatkan salinan perjanjian penyelesaian antara kerajaan dan Goldman Sachs, beliau berkata, maklumat yang diminta oleh pihak pembelaan tidak dinyatakan.

Putrajaya mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs pada Julai 2020 yang menyaksikan negara mendapat semula dana sebanyak USD3.9 bilion (RM16.63 bilion).

“Ini sama seperti ‘fishing expedition’ (menggali maklumat) yang tidak dibenarkan di bawah undang-undang,” kata hakim itu.

Najib dibicarakan atas 25 dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB berjumlah RM2.28 billion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Feb 2011 dan Dis 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.