JAIS tunggu Sultan Selangor perkenan SOP masjid menjelang fasa endemik

JAIS tunggu Sultan Selangor perkenan SOP masjid menjelang fasa endemik

Ketetapan baharu mengenai aktiviti masjid dan surau dijangka diperkenankan Sultan Selangor seawal minggu depan.

Sultan Selangor sebelum ini memberi perkenan individu yang mengambil dua dos vaksin dan dos penggalak sahaja dibenarkan menunaikan solat Jumaat di masjid. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) masih menunggu perkenan Sultan Selangor berhubung prosedur operasi standard (SOP) aktiviti di masjid serta surau menjelang fasa endemik Covid-19, 1 April depan.

Sumber dalaman JAIS memberitahu FMT, sehingga kini Selangor masih menggunakan ketetapan seperti dikeluarkan dalam pekeliling kepada semua masjid dan surau seluruh negeri yang diedarkan sebelum ini.

“Di Selangor kita masih lagi menunggu perkenan Tuanku untuk apa-apa ketetapan baharu menjelang fasa endemik nanti.

“Sehingga kini belum ada apa-apa ketetapan baharu walaupun negara akan bergerak ke arah fasa endemik bermula 1 April ini,” katanya.

Media hari ini melaporkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengumumkan masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibenar mengadakan solat berjemaah tanpa penjarakan bermula 1 April.

Laporan itu memperincikan, masjid dan surau juga dibenarkan melaksanakan solat Tarawih 20 rakaat pada Ramadan dan aktiviti Qiamullail turut dibenar diadakan mulai tengah malam.

Majlis berbuka puasa, moreh dan sahur dibenarkan namun makanan digalakkan disediakan secara berbungkus, malah aktiviti tadarus al-Quran dalam bentuk kumpulan kecil turut dibolehkan, menurut JAWI.

Sumber JAIS turut menjangkakan ketetapan baharu bersabit aktiviti masjid dan surau akan diperkenankan seawal minggu depan.

“Kita jangka seawal minggu depan kita sudah dapat ketetapan baharu berhubung isu ini,” katanya.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini memberi perkenan bahawa individu yang mengambil dua dos vaksin dan dos penggalak sahaja dibenarkan menunaikan solat Jumaat di masjid sebagai langkah berjaga-jaga untuk memerangi wabak covid-19 di negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.