
Beliau bertanya sama ada terdapat lebih daripada seorang pegawai penyiasat dalam pasukan polis yang menyiasat kes itu yang disahkan positif Covid-19.
Santiago membangkitkan persoalan itu selepas polis memaklumkan bahawa salah satu sebab kelewatan itu adalah kerana pegawai penyiasatnya dijangkiti Covid-19 pada Februari.
Ini menyebabkan pegawai terbabit tidak dapat memberi maklum balas mengenai tarikh sesuai untuk melakukan perjalanan ke Singapura.
“Kamu tidak boleh menggunakan alasan ini. Bagaimana dengan pegawai penyiasat lain dalam pasukan itu? Jika seorang pegawai disahkan positif, pegawai lain masih boleh pergi,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, polis Singapura mengeluarkan kenyataan bahawa ia telah mencadangkan kepada pasukan Malaysia supaya melakukan perjalanan antara 8 dan 9 Feb, namun pihak Malaysia hanya memberi maklum balas pada 10 Mac dengan memohon untuk masuk ke republik itu pada pertengahan hingga lewat Mac.
Santiago berkata, penangguhan itu menunjukkan kurangnya kemahuan politik di pihak kerajaan untuk meneruskan kes terbabit.
“Ini adalah kes berprofil tinggi dan dengan menangguhkan siasatan ini, ia bermakna tiada kemahuan politik untuk meneruskan perkara ini.
“Orang ramai mendakwa Tawfiq dan isterinya, bekas Gabenor Bank Negara, Zeti Aziz melakukan pengubahan wang haram.
“Saya fikir di sinilah polis perlu bertindak balas, sama ada suka atau tidak, anda perlu bertanggungjawab atas kelewatan itu,” katanya.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dalam kenyataannya semalam memberi jaminan kepada orang ramai bahawa polis komited dalam memastikan siasatan diselesaikan secepat mungkin secara telus dan adil tanpa melindungi mana-mana pihak.
Polis berkata, faktor lain yang menyebabkan kelewatan itu ialah penggantungan sementara Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura antara 23 Dis 2021 hingga 20 Jan tahun ini selain tiada jawapan daripada saksi di Singapura mengenai kesediaan untuk disoal oleh polis Malaysia.
Polis Singapura dilaporkan telah memaklumkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai urus niaga mencurigakan pada 2015 dan 2016 membabitkan syarikat milik suami Zeti dan seorang anak lelakinya.
Ini menyebabkan polis mula menyiasat perkara itu awal bulan ini dan Timbalan Menteri Undang-Undang Mas Ermieyati Samsudin memberitahu Dewan Rakyat bahawa polis tidak dapat meneruskan siasatan buat sementara waktu kerana sempadan ditutup.