Bentang undi percaya bukti dapat sokongan majoriti, Onn Hafiz diberitahu

Bentang undi percaya bukti dapat sokongan majoriti, Onn Hafiz diberitahu

BERSIH berkata undi percaya perlu dibentangkan bagi membuktikan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mendapat sokongan majoriti di DUN.

Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor pada Selasa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
BERSIH menggesa Menteri Besar Johor yang baharu dilantik, Onn Hafiz Ghazi, membentangkan usul undi percaya bagi membuktikan beliau mendapat sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kumpulan reformasi pilihan raya itu berkata, undi percaya penting kerana Barisan Nasional (BN) menamakan bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad sebagai calon untuk menjawat jawatan itu dalam kempen pilihan raya dan 38 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang baharu dipilih dilaporkan menandatangani akuan berkanun (SD) sebagai sokongan terhadapnya.

Dalam kenyataan hari ini, ia menggesa kerajaan Johor meminda perlembagaan negeri dan perintah tetap DUN bagi mewujudkan mekanisme “pengesahan undi percaya” bagi mengesahkan pelantikan mana-mana menteri besar baharu.

Katanya, undi itu harus dibuat selepas pilihan raya atau pertengahan penggal untuk “mengesahkan keabsahan menteri besar dan mengurangkan kemungkinan pertukaran kerajaan pada pertengahan penggal”.

“BERSIH melihat (keadaan sekarang) berpotensi menimbulkan ketidakstabilan di Johor jika sistem itu tidak diubah untuk membolehkan DUN mengesahkan sokongannya kepada menteri besar baharu,” katanya.

Ia juga berkata, “undi tidak percaya konstruktif” perlu diperkenalkan di DUN, jadi menteri besar tidak boleh digulingkan melainkan undi itu mengandungi nama penggantinya yang diluluskan dengan majoriti mudah.

Dengan cara itu katanya, pilihan raya mengejut tidak perlu diadakan kerana menteri besar boleh diganti.

“Pindaan ini akan mengelak muslihat politik yang tidak berkesudahan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap demokrasi berparlimen dan sistem raja berperlembagaan serta memastikan kestabilan politik lebih baik,” katanya.

Onn Hafiz, cicit kepada bekas perdana menteri Hussein Onn, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 di depan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada Selasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.