Aplikasi ‘Hijrah diri’ untuk LGBT dikeluarkan dari Google Play Store

Aplikasi ‘Hijrah diri’ untuk LGBT dikeluarkan dari Google Play Store

JAKIM dipercayai mendakwa aplikasi 'Hijrah Diri' boleh membantu golongan LGBT kembali kepada fitrah.

JAKIM baru-baru ini mempromosikan aplikasi ‘Hijrah Diri’ menerusi Twitternya.
PETALING JAYA:
Satu aplikasi dibangunkan kerajaan Malaysia, yang mendakwa boleh membantu golongan LGBT “kembali kepada fitrah”, telah dikeluarkan daripada Google Play Store.

Menurut laporan The Guardian, Google mengesahkan aplikasi “Hijrah Diri” melanggar garis panduan platformnya.

“Apabila kami diberikan amaran berhubung sesuatu aplikasi, kami menyiasat perkara itu berdasarkan dasar Play Store kami. Jika berlaku pelanggaran, kami mengambil tindakan sewajarnya untuk mengekalkan pengalaman dipercayai untuk semua,” kata Google dipetik akhbar UK itu.

Di bawah garis panduan Google, aplikasi yang “cuba menipu pengguna atau membenarkan kelakuan tidak jujur” atau “bertekad menjadi mustahil dari segi fungsi” tidak dibenarkan.

Aplikasi itu yang mula diperkenalkan pada 2016, dilaporkan turut dikongsi di akaun Twitter Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

JAKIM dipercayai mendakwa aplikasi “Hijrah Diri” boleh membantu LGBT kembali kepada fitrah.

Ia turut dikatakan merangkumi satu e-buku menceritakan pengalaman seorang lelaki gay “meninggalkan tingkah laku homoseksual” ketika Ramadan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad yang kecewa dengan keputusan Google itu berkata, beliau telah mengarahkan JAKIM untuk berhubung dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk mendapatkan penjelasan dan tindakan lanjut.

“Ternyata ini adalah perkara yang sangat mendukacitakan apabila sebuah aplikasi untuk menarik manusia kembali kepada fitrah diri mereka, apatah lagi menjelang bulan yang mulia Ramadan, telah dinafikan oleh golongan tertentu, sedangkan banyak lagi aplikasi yang mendorong kepada maksiat berleluasa dengan megah di peranti, yang kian merosakkan jiwa umat Islam dan anak muda kini.”

Beliau menerusi catatan di Facebook meminta umat Islam dan rakyat Malaysia berdoa agar usaha kecil Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama melalui JAKIM, untuk mengajak manusia kembali kepada Allah dipermudahkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.