
Lima lelaki dan dua wanita berusia 21 hingga 54 tahun itu ditahan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih pada 7.45 pagi tadi.
Menurut laporan Harian Metro, semua PATI dari Tanjung Balai, Indonesia itu difahamkan tiba dengan bot ke negara ini buat julung kali.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Semenyih, Rizal Mohamed berkata, pihaknya mengesan semua PATI itu ketika melakukan rondaan dan pemantauan di sekitar kawasan berkenaan.
“Mereka ditemui di kandang lembu berpagar di pesisir pantai yang dianggap lokasi mudah untuk bersembunyi.
“Pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah dan masuk menerusi laluan tidak diwartakan, iaitu jalan laut,” katanya dipetik Harian Metro.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati PATI itu membayar kira-kira RM2,000 hingga RM3,000 untuk datang ke Malaysia dan mendakwa mahu bekerja sebagai buruh binaan serta pembantu rumah.
Katanya, siasatan mendapati mereka datang dari dua kampung berbeza di Tanjung Balai dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.