
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, lelaki tempatan berusia 48 tahun terbabit dipercayai dalam keadaan mabuk susulan bau arak dan keadaannya yang terhuyung-hayang.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, kejadian itu disedari seorang anggota polis yang sedang bertugas di balai berkenaan.
Katanya, anggota polis yang melihat kehadiran suspek sempat bertanyakan tujuan lelaki itu datang ke balai.
“Bagaimanapun suspek terus berkata, ‘mahu tetak kau’ sambil mengangkat sebilah parang panjang menyebabkan mangsa terus masuk ke kaunter aduan balai polis dan mengunci pintu.
“Suspek sekali lagi menjerit ‘matlamat saya datang balai mahu bunuh polis’,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Yusoff berkata, pasukan polis yang menerima maklumat kejadian terus menghantar bantuan untuk menahan suspek dan merampas parang itu.
Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati suspek disyaki di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan suspek akan diarahkan menjalani ujian saringan air kencing bagi membantu siasatan lanjut.”