
Katanya, pengeluaran khas itu terbuka kepada ahli berusia 55 tahun ke bawah, dengan jumlah pengeluaran maksimum RM10,000 dan minimum RM50.
“Tertakluk kepada baki simpanan Akaun 2. Jika tidak mencukupi, simpanan Akaun 1 akan diakses,” umum KWSP dalam Twitternya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 dibenarkan bagi meringankan beban rakyat yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19.
Katanya, ia merupakan satu keputusan sukar kerana melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini.
Oleh itu, beliau mengingatkan pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka, kecuali keadaan benar-benar mendesak.
Dalam perkembangan lain, KWSP berkata, inisiatif pengeluaran khas terbaharu itu patut menjadi skim pengeluaran terakhir.
Mengambil kira ia adalah skim pengeluaran khas keempat selepas i-Lestari dan i-Sinar pada 2020 serta i-Citra pada Julai tahun lalu, katanya, sejumlah RM101 bilion sudah dikeluarkan di bawah ketiga-tiga kemudahan berkenaan.
“Ketika negara membina semula ekonomi dan lebih ramai sudah kembali bekerja, KWSP percaya ini perlu menjadi pengeluaran terakhir yang dibenarkan di bawah inisiatif pengeluaran khas.
“KWSP ingin menegaskan kebimbangan membabitkan kekurangan dana persaraan ahlinya dan berharap ini akan menjadi pendahulu ke arah pembinaan semula simpanan persaraaan dan pembaharuan sistem keselamatan sosial negara,” katanya dalam kenyataan berasingan.