6 April sebutan semula kes remaja bunuh bayi

6 April sebutan semula kes remaja bunuh bayi

Keputusan dibuat selepas mahkamah dimaklumkan tertuduh berusia 15 tahun itu sedang mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Permai, Johor Bahru.

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu sebelum ini menolak permohonan peguam remaja berusia 15 tahun untuk membolehkan dia diikat jamin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Majistret Kemaman menetapkan 6 April depan sebagai tarikh sebutan kes remaja perempuan yang berdepan tuduhan membunuh bayi lelaki yang baharu dilahirkan di sebuah rumah di daerah itu awal bulan lalu.

Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman membuat keputusan itu selepas dimaklumkan bahawa tertuduh berusia 15 tahun itu sedang mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Permai, Johor Bahru.

Pada 8 Mac lalu, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Hassan Abdul Ghani memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri.

Menurut laporan Harian Metro, tertuduh yang sebelum ini diwakili peguam Ramkarpal Singh, Sangeet Kaur Deo dan Harshaan Zamani memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Kemaman pada 15 Feb lalu yang tidak membenarkannya diikat jamin.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu selepas mendapati Mahkamah Majistret Kemaman tidak melakukan kesilapan apabila tidak membenarkan jaminan diberikan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman pada 15 Feb lalu berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tertuduh didakwa membunuh bayinya antara jam 7 hingga 9 pagi 8 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhanisah SH Sahul Hamid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.