15 rumah di penempatan Bukit Malut musnah terbakar

15 rumah di penempatan Bukit Malut musnah terbakar

Api dilaporkan merebak cepat berikutan kedudukan rumah terlalu rapat antara satu sama lain, selain cuaca kering dan berangin.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu selepas semua penghuni sempat keluar rumah bagi menyelamatkan diri. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sejumlah 15 rumah di penempatan di Bukit Malut, Langkawi, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Dalam kejadian pada 6.40 petang itu, api dipercayai bermula dari sebuah rumah penduduk sebelum merebak dan memusnahkan kediaman berhampiran.

Api dilaporkan merebak cepat berikutan kedudukan rumah terlalu rapat antara satu sama lain, selain cuaca kering dan berangin.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu selepas semua penghuni sempat keluar rumah bagi menyelamatkan diri.

Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Langkawi Fadzlullah Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.47 petang.

“Sejurus menerima laporan, empat jentera termasuk jentera tangki air berserta tiga pegawai serta 20 anggota dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kita mendapati beberapa rumah penduduk di kawasan Bukit Malut sedang terbakar sebelum usaha mengawal kebakaran dilakukan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Fadzullah berkata, pihaknya menganggarkan setiap rumah yang terbakar mempunyai keluasan kira-kira enam meter panjang dan lebar sembilan meter.

Katanya, api dapat dikawal pada 7.47 malam dan usaha memadamkan sisa kebakaran masih dijalankan di lokasi kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.