Terima kenyataan saya kini presiden, Halim beritahu pimpinan MTUC

Terima kenyataan saya kini presiden, Halim beritahu pimpinan MTUC

Halim Mansor adalah presiden baharu MTUC berikutan penarikan diri pencabarnya Mohd Jafar Majid untuk jawatan yang menjadi pertikaian itu.

Halim Mansor akan meletakkan MTUC kembali ke landasan yang betul berikutan beberapa keputusan yang ditangguhkan sekian lama. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Presiden MTUC yang baharu Halim Mansor berharap “pemimpin semasa” kesatuan menerima hakikat bahawa beliau kini adalah presiden berikutan penarikan diri pencabarnya Mohd Jafar Majid untuk jawatan yang dipertikaikan itu.

“Saya secara rasminya presiden sekarang dan saya harap pemimpin sedia ada menerima realiti ini. Mari kita meletakkan 30 bulan yang dibazirkan sebelum ini dan mula melakarkan hala tuju baharu untuk pergerakan yang terganggu disebabkan wabak Covid-19,” katanya kepada FMT ketika dihubungi.

Halim berterima kasih kepada Jafar, yang mengetuai Kesatuan Kebangsaan Pekerja Telekom, atas tindakannya itu.

Katanya, beliau akan meletakkan MTUC kembali ke landasan yang betul berikutan beberapa keputusan yang ditangguhkan sekian lama.

Beliau berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) telah dimaklumkan bahawa Jafar secara rasmi menarik diri daripada perebutan jawatan presiden yang berakhir dengan undi seri antara mereka pada 2019.

Pada pemilihan MTUC 2019, Halim dan Jafar memperoleh jumlah undian yang sama dengan pencabar ketiga Nor Azlan Yaacob tewas. Bagaimanapun, kepimpinan MTUC bertegas untuk mengadakan pemilihan semula melibatkan ketiga-tiganya.

Apabila Nor Azlan meninggal dunia Oktober lalu, Halim dan Jafar mendesak pemilihan semula diadakan tetapi kepimpinan sedia ada menangguhkannya.

Terdahulu hari ini, Jafar menyerahkan surat penarikan diri kepada pimpinan MTUC dan JPPM.

Bekas timbalan presiden itu berkata, beliau menarik diri daripada pertikaian itu untuk meletakkan MTUC kembali ke landasan yang betul, selain menambah bahawa Halim kini boleh mengambil alih kepimpinan kongres itu.

Halim bercadang untuk memanggil mesyuarat jawatankuasa kerja secepat mungkin bagi menetapkan tarikh mesyuarat Majlis Am.

“Di bawah perlembagaan MTUC, persidangan perwakilan tiga tahun sekali akan datang perlu diadakan antara Oktober dan Disember. Saya mahu kembali bekerja,” katanya.

Sebelum itu, Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor berkata, kongres berkenaan akan terus menjalankan tugas dan fungsinya walaupun belum ada keputusan mengenai kedudukan presidennya lagi.

Beliau berkata, perlembagaan kongres itu tidak menyediakan penyelesaian kepada isu itu kerana ia tidak pernah berada dalam situasi sedemikian sejak 70 tahun lalu.

“Menurut perlembagaan kita, mesyuarat agung adalah kuasa tertinggi untuk membuat keputusan sedemikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.