Suami Zeti terima dana 1MDB sebelum SRC ditubuhkan, kata pendakwaan

Suami Zeti terima dana 1MDB sebelum SRC ditubuhkan, kata pendakwaan

SRC tidak wujud ketika Tawfiq Ayman menerima wang daripada dana kekayaan negara itu pada 2008.

Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib Razak untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuannya dan turut mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu bahawa tiada perkaitan bukti antara dana yang diterima Tawfiq Ayman daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2008 dengan wang SRC International Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun bank Najib Razak.

Timbalan Pendakwa Raya adhoc, V Sithambaram, berkata SRC tidak wujud ketika Tawfiq menerima wang daripada dana kekayaan negara itu pada 2008. Tawfiq adalah suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata demikian ketika berhujah di hadapan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang mendengar rayuan bekas Perdana Menteri itu untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes terhadapnya yang membabitkan SRC.

“Yang Arif, kini mereka menyatakan bahawa wang yang diterima oleh suami Zeti pada 2008 mempunyai kaitan dengan wang yang beliau (Najib) terima pada 2014 sedangkan SRC belum wujud ketika itu.

“Adalah jelas bahawa wang itu milik 1MDB. Keseluruhan rentetan peristiwa tidak ada kena-mengena dengan dana SRC atau mempunyai kaitan dengan pertuduhan yang dihadapi oleh perayu (Najib). Apa kena-mengena Zeti dan suaminya dengan kes ini,” kata Sithambaram.

Turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan, Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Mohd Zawawi Salleh.

Terdahulu, peguam Muhammad Shafee Abdullah berhujah Mahkamah Rayuan sepatutnya memerintahkan agar Najib dibicarakan semula dan permohonan beliau untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes itu didengar di hadapan panel lain.

Beliau berkata, ini kerana panel terdahulu yang dipengerusikan oleh Abdul Karim Abdul Jalil dan terdiri daripada Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera telah dipengaruhi untuk menutup minda mereka daripada mendengar permohonan itu pada Dis tahun lalu.

Najib, 68, membuat permohonan itu susulan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 19 Nov lalu berkaitan aset 1MDB yang diperoleh semula apabila Kerajaan Singapura memulangkan sejumlah USD15.4 juta kepada Malaysia yang mempunyai kaitan dengan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL) milik suami Zeti.

Pada 7 Dis 2021, Mahkamah Rayuan telah menolak permohonan Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuannya dan memutuskan bahawa Najib gagal memenuhi peruntukan mengikut Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman bahawa bukti baharu diperlukan demi keadilan dalam kes itu.

Keesokan harinya, mahkamah sama mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC selepas menolak rayuan beliau terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Pendengaran rayuan itu bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.