
NGO terbabit menyambut baik kenyataan Menteri Sumber Manusia, M Saravanan yang menyatakan
bahawa beliau telah memasukkan cuti itu dalam Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2021 dengan berkata, kebanyakan bapa yang bekerja di sektor swasta tidak layak mendapat sebarang cuti paterniti ketika ini.
Kerajaan sebelum itu mencadangkan pindaan kepada Akta Kerja yang membenarkan cuti paterniti bergaji selama tiga hari, tetapi NGO berkenaan berkata, ia tidak mencukupi.
“Cadangan baharu tujuh hari ini akan terpakai kepada semua pekerja dalam semua sektor swasta dan konsisten dengan kemudahan yang dinikmati oleh bapa yang bekerja di sektor awam pada masa ini,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.
Bapa yang bekerja dalam sektor awam layak menggunakan cuti paterniti sehingga tujuh hari bermula dari tarikh kelahiran anak mereka.
Langkah itu juga memberi mesej bahawa penjagaan anak adalah tanggungjawab bersama dan perubahan kepada norma sosial akan membantu wanita kekal dalam tenaga kerja, kata kumpulan itu.
“Banyak negara telah pun membenarkan cuti paterniti. Menurut kajian oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada 2014, 79 daripada 167 negara mempunyai undang-undang yang menyediakan cuti paterniti.
“Filipina dan Singapura membenarkan cuti paterniti bergaji selama dua minggu,” kata NGO terlibat.