
Berucap di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin, juga mencabar Hamid supaya tampil mendedahkan nama-nama individu yang terlibat sekiranya dakwaan itu benar.
“Sekiranya wujud dakwaan sedemikian melalui bekas KPN sendiri, kita menjemput beliau untuk mendedahkan nama-nama yang terlibat.. pihak yang terlibat.
“Kita bersedia disiasat… kita bersedia untuk buka (kes) ini secara terang supaya kita dapat kebenaran,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) ketika menggulung perbahasan usul Titah Diraja bagi kementerian itu.
Ramkarpal daripada DAP menuntut penjelasan daripada KDN sejauh mana kebenaran dakwaan bekas KPN itu.
Dalam pada itu, Jonathan berkata, pihaknya hairan berhubng tindakan Hamid yang hanya membangkitkan isu kartel polis pada hujung tempoh perkhidmatannya.
“Kita hairan kenapa tindakan tidak dibuat kalau sekiranya ada (kartel) semasa beliau baharu sahaja menjawat jawatan KPN tetapi (ia hanya didedahkan) pada akhir tempoh bertugas, baharu beliau mendakwa dengan dakwaan yang umum.
“Kita tahu dakwaan secara umum itu tidak baik kerana ia akan menjejaskan semua nama anggota polis sedangkan ramai yang tidak tahu hal ini,” katanya.
Pada sidang akhbar terakhirnya pada Mac tahun lalu, Hamid mendakwa wujudnya kartel dalam pasukan polis yang bercita-cita untuk menguasai pasukan itu untuk kepentingan peribadi mereka sendiri.
Katanya, kumpulan ini termasuk pegawai berpangkat tinggi mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah yang juga didakwa berkomplot untuk menyingkirkannya sebagai ketua polis negara.