
Haniff Khatri Abdulla berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Nazlan Mohd Ghazali sepatutnya memaklumkan pihak pendakwaan bahawa beliau adalah ketua penasihat undang-undang dan setiausaha syarikat sebuah bank yang meluluskan lebih RM6 bilion pinjaman kepada 1MDB.
Ini katanya, akan membolehkan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan sebarang kebimbangan mengenai Nazlan yang mengetuai kes itu.
“Dari sudut undang-undang, hakim yang terlibat dalam apa cara sekalipun dengan kes tidak boleh mengetuainya,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook.
Walaupun tidak dapat memastikan sama ada Nazlan mempunyai kaitan langsung dengan kes SRC yang akhirnya ia melibatkan mereka yang mana sebelum berlangsung perbicaraan mengetahui berkenaan dokumen yang dipersoalkan.
Haniff berkata, jika Mahkamah Persekutuan merasakan terdapat percanggahan kepentingan atau ia boleh mempengaruhi penghakiman Nazlan, ia boleh membatalkan sabitan dan mengarahkan perbicaraan semula.
“Tetapi itu bermakna masa yang dihabiskan untuk perbicaraan dibuang begitu sahaja.”
Awal hari ini, pasukan pembelaan Najib Razak berkata, mereka akan memohon kes SRC International bernilai RM42 juta bekas Perdana Menteri itu dibicarakan semula.
Mereka berkata, permohonan itu akan dibuat sekiranya berjaya menunjukkan terdapat potensi konflik kepentingan melibatkan hakim perbicaraan selepas didedahkan Nazlan telah berkhidmat dengan Maybank antara 2005 dan 2015.
Pinjaman daripada Maybank itu adalah untuk membiayai sebahagian daripada pengambilalihan Tanjong Energy oleh 1MDB. SRC International merupakan anak syarikat 1MDB pada masa pinjaman dibuat.
Najib bercadang memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti bahawa Nazlan sebelum ini terlibat dalam meluluskan pinjaman daripada Maybank kepada 1MDB.
Nazlan, yang sejak itu dinaikkan ke Mahkamah Rayuan, pada Julai 2020 mensabitkan Najib atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berhubung RM42 juta milik SRC International.
Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Keputusan Nazlan itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan Dis lalu. Najib merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.