Bayaran kesesakan ke atas kenderaan masuk KL dikaji, kata menteri

Bayaran kesesakan ke atas kenderaan masuk KL dikaji, kata menteri

Wee Ka Siong berkata jika projek MRT3 siap selepas 2030, kerajaan akan menyemak semula struktur bayaran meletak kenderaan dalam bandar.

Wee Ka Siong berkata, sistem sedemikian sudah dilaksanakan di bandar besar di seluruh dunia dengan pengecualian diberikan kepada kenderaan elektrik.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan mengkaji pengenaan bayaran kesesakan ke atas kenderaan yang masuk ke ibu kota selepas sistem jaringan pengangkutan awam siap pada 2030, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Beliau berkata, sistem sedemikian sudah dilaksanakan di bandar besar di seluruh dunia dengan pengecualian diberikan kepada kenderaan elektrik.

“Sekiranya siap selepas 2030, kita akan lihat balik struktur bayaran untuk meletak kereta dalam bandar dan apabila ada sistem jaringan pengangkutan awam yang sudah lengkap maka sudah sampai masanya kita lihat komponen apa yang telah disarankan (pengenalan bayaran kesesakan),” katanya di Dewan Rakyat.

“Itu satu trend yang betul (mengenakan bayaran kesesakan)…bukan sahaja (melihat) kenderaan masuk tetapi kawalan alam sekitar yang biasanya dilakukan di kota besar di dunia.”

Wee menjawab soalan tambahan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) sama ada kerajaan bercadang untuk mengenakan bayaran kesesakan ke atas kenderaan yang masuk ke Kuala Lumpur selepas projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) siap.

Terdahulu, Wee berkata, MRT3 yang mendapat persetujuan Kabinet pada 4 Mac dijangka siap menjelang 2030 dengan fasa pertama dibuka kepada orang awam seawal Dis 2028 tertakluk kepada proses pengambilan tanah.

Katanya, berdasarkan kajian teknikal yang dilaksanakan, laluan MRT3 sepanjang 51km, dengan 39km akan melalui jajaran di Kuala Lumpur dan baki 12km jajaran di Selangor.

Katanya, projek itu dibiayai secara hibrid melalui sukuk, jaminan bersama kerajaan dan pembiayaan bayaran tertangguh.

Laluan itu akan memintas sistem rel sedia ada, termasuk MRT1, MRT2, Transit Aliran Ringan, KL Monorel dan KTM, dengan 10 stesen pertukaran baharu.

“Sebanyak 80% laluan itu adalah bertingkat manakala baki 20% adalah laluan bawah tanah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.